KUALA LUMPUR : Penyanyi, Sissy Imann meluahkan rasa kecewa terhadap netizen yang tergamak menuduh dirinya gila publisiti hanya kerana dia sedang bersedih dan meratapi kematian kucing kesayangannya di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Sissy menjelaskan bahawa luahan tersebut adalah sebagai cara untuk dirinya mencari kekuatan apabila berkongsi dengan di media sosial.
“Sudahlah tak baca artikel betul-betul, dia tuduh pulak kita tunjuk sedih gila publisiti.Tengok kucing pun dah kurus? Seriuslah? Kita ni dahlah kena buang peraşaan sedih itu jauh-jauh bila kena terus bekerja.
“Saya hanya ada ruang ini sahaja untuk meratapi sedih ini dan mengekspresikan perasaan yang terbuku dalam hati. Mungkin dapat cari kekuatan jugak bila berkongsi cerita dengan korang,” luahnya.
Sebelum ini, penyanyi itu memaklumkan kucing kesayangannya Ashecat hilang selama 27 hari sebelum ditemui mati oleh seorang individu akibat dilanggar.
Dalam pada itu, Sissy juga menafikan dakwaan netizen berkenaan yang mengatakan dia tidak memberi kucingnya itu makan sehingga mengakibatkan kematian.
“Kalau ikut logik akal, tak akanlah kita nak biarkan kucing kita 27 hari tak makan… bukan kita yang tak balik rumah 27 hari.. Ashecat yang tak balik. Kita ni hari-hari panggil Ashecat.
“Sampaikan setiap kali jumpa kucing, kita pesan kat kucing suruh Ashecat balik sebab orang kata kucing ni faham apa kita cakap. Kita usaha cari dia. Tapi sanggupnya awak cakap kita macam itu,”katanya sedih.