PETALING JAYA: Pelakon terkenal Indonesia, Nia Ramadhani, menzahirkan rasa syukur apabila dirinya masih diberi peluang untuk bersama anak-anak dan ahli keluarganya semula.
Menerusi hantaran di Instagram, pelakon sinetron yang popular dengan drama bersiri Bawang Putih Bawang Merah itu memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan sedang bercuti bersama keluarga kecilnya di Disneyland California, Amerika Syarikat.
Menurut Nia, dia dan suami, Ardi Bakrie, telah banyak belajar daripada kesilapan lampau.
Selain berterima kasih buat semua pihak yang tidak pernah lekang memberi sokongan dan doa buat mereka berdua.
“Bersyukur sudah boleh bercuti bersama anak-anak dan keluarga setelah melewati pengajaran terbesar dalam kehidupan.
“Terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti memberikan sokongan dan doa. Apa pun yang terjadi dalam hidup kita, semuanya dengan izin Allah.
“Alhamdulillah, hikmah daripada kejadian yang saya dan suami alami, sudah kami hadapi dan rasai,” katanya.
Mengulas lanjut, dia turut memberitahu dirinya dan suami akan berusaha menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Insya-Allah di masa hadapan keperibadian kami akan menjadi lebih baik lagi. Terima kasih kepada anda semua yang mempunyai pemikiran yang terbuka.
“Terima kasih kerana sudah menjadi manusia yang tidak sombong yang merasakan boleh menilai kehidupan orang lain hanya dengan melihat daripada luarannya,” ujarnya lagi.
Pada Julai tahun lalu, Nia dan suaminya, ditahan di kediaman mereka di Jakarta Pusat dengan syabu seberat 0.78 gram turut ditemui.
Mahkamah sebelum ini memutuskan mereka dikenakan hukuman penjara selama setahun.
Bagaimanapun, keputusan rayuan telah membebaskan pelakon berkenaan dan hanya perlu menjalani proses pemulihan bermula tarikh ditangkap.
Terbaharu, selepas empat bulan menjalani rawatan dan pemulihan dadah di daerah Bogor, Jawa Barat Indonesia, pelakon itu dikatakan sedia untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.