PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Sarah Liyana, akhirnya berani mendedahkan wanita yang didakwa mengganggu rumah tangganya sejak empat tahun lalu, menerusi platform media sosialnya.
Perkara tersebut dilakukan oleh isteri kepada pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof, menerusi Instastory di Instagram miliknya setelah mengaku tidak lagi tahan dengan kerenah kedua-dua mereka.
Menurut Puteri Sarah, dia juga sering diganggu dengan akaun palsu dan komen-komen yang menyakitkan hati daripada wanita yang dikenali sebagai Ira Kazar, anak kepada pelakon senior, Kazar Saisi.
“Assalammualaikum. Dari dulu sehingga kini saya diganggu dengan akaun palsu, diganggu dengan komen-komen yang menyakitkan hati tetapi tidak mengapa saya sabar.
“Awak kacau mental saya dari 2019 lagi. Sampai kami sudah tidak tinggal sebumbung, tidak puas hati lagi ke?
“Bila kami berbaik, awak ugut suami saya pula. Hari ini saya sibuk dengan anak-anak, tiba-tiba terima berita yng menyakitkan,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, pelakon itu menganggap wanita itu sudah berlebihan sehingga dia terpaksa menyuarakan isu tersebut.
Dalam pada itu, Puteri Sarah turut memberi amaran buat Ira agar berhenti mengganggu hidupnya.
“Selama ini, apa awak buat, kacau saya, saya diam sahaja sebab nak menjaga nama baik keluarga. Tp kali ini rasanya awak dah lebih sangat.
“Siap cakap fasal anak-anak saya. Awak itu orang luar tidak perlu masuk campur. Apa yang berlaku sekarang, awak cuma tahu asas sahaja.
“Kali ini cukuplah awak ganggu lagi-lagi bila saya nak pergi umrah,” dedahnya lagi.
Di kesempatan itu, Puteri mendoakan agar Ira dan suaminya diberikan hidayah Allah di bulan yang mulia ini.
“Empat tahun saya menanggung. Di bulan baik ini, saya doakan anda berdua, Ira Kaza dan suami saya diberikan hidayah.
“Berhati-hati doa orang yg teraniaya itu Allah akan makbulkan lagi-lagi di bulan puasa ini,” ujarnya.
Menerusi perkongsian lain, pelakon itu turut mempersoalkan wanita tersebut masih bersungguh-sungguh menganggu suaminya walaupun dakwanya sudah mempunyai teman lelaki.
“Tak silap saya, awak sudah ada teman lelaki kan Ira Kaza? Semuanya tak kekal. Baru-baru ini pun awak ada teman lelaki kan?
“Mana pergi semua teman-teman lelaki awak? Kenapa nak kena kejar suami orang lagi? Memang tiada maruah ke hadap suami orang?
“Sebab nak harta dia? Membesar dan bekerja lah. Saya pun bekerja mencari wang sendiri. Jangan ambil jalan mudah, minta wang dekat suami orang,” tulisnya.
Sebelum ini, kisah rumah tangga pasangan selebriti itu didakwa dilanda badai sehingga mereka sudah lama
tidak tinggal sebumbung.
Malah, Puteri Sarah juga mendakwa suaminya itu tahu punca hubungan mereka dingin.
Sekadar informasi, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.