KUALA LUMPUR : Membuka mulut mengenai hadiah berupa sebuah kereta mewah yang dihadiahkan kepada penerbit terkenal, Gayatri Su-Lin Pillai baru-baru ini, Zul Ariffin mengaku, wanita tersebut cukup istimewa dalam hidupnya.
Menurut pelakon popular ini, pemberian hadiah tersebut sememangnya sudah lama difikirkan olehnya dan pemilihan jenis kereta itu juga adalah mengikut citarasa penerbit itu.
“Tak ada sempena apa-apa pun. Saya memang nak bagi dia hadiah. Saya rasa kereta itu pun sesuai dengan dia dan dia pun suka kereta itu, jadi saya bagilah.Maksud saya, siapa yang tak suka kereta jenis itu bukan? 90 peratus orang pasti akan cakap suka.
“Dan tentulah dia bagi saya seseorang yang istimewa. Dia sudah macam keluarga, sudah lebih 10 tahun lamanya kami kenal. Kalau cakap pasal sayang, ya, memang itulah (pemberian hadiah) satu daripada cara yang kita tunjukkan,”katanya.
Zul berkata demikian semasa ditemui di majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2022 yang diadakan di Nexus, Bangsar, semalam.
Terdahulu, tiga hari lepas, Gaya berkongsi dalam Instagramnya mengenai hadiah berupa sebuah kereta mewah jenis Range Rover berwarna hitam yang difahamkan, merupakan kejutan daripada Zul.
Selain itu, Zul juga mengulas mengenai nombor plat kereta tersebut yang mana bagi netizen, amat cantik dan istimewa.
“Nombor plat kereta itu? Saya rasa nombor itu comel dan dia pun rasa yang sama. Jadi saya ikut sajalah. Bagi saya, sesekali bagi dia hadiah istimewa, apa salahnya, tak adalah selalu.
“Saya tunggu hadiah saya pula nanti. Hadiah untuk diri sendiri pun tertangguh lagi ini,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai persiapan hari raya, Zul menjelaskan, keterujaan menyambut raya cuma biasa-biasa memandangkan dia perlu berangkat ke Udine, Italy pada 26 April ini.
“Raya itu biasa-biasa saja. Saya akan berangkat ke Italy untuk menghadiri sebuah festival filem di sana. Filem saya dengan Khabir Bhatia dan beberapa orang pelakon lain lagi. Kami bertanding di sana.
“Balik pun mungkin dah dekat raya itu. Silap-silap saya panjangkan masa untuk berada di sana dan beraya di sana. Carilah masjid mana-mana.
“Saya teruja jugalah untuk ke sana sebab dah lama tak ke luar negara dan itu merupakan festival seumpamanya saya hadir di negara luar,”katanya.