KUALA LUMPUR : Walaupun pernah dikritik tidak layak menjadi penyanyi, selebriti media sosial dan juri program All Together Now Malaysia (ATNM),Kelly Azman, bagaikan kalis dengan segala kecaman.
Tampil berani mengeluarkan single raya kedua berjudul Nikmat Di Hari Raya selepas Kepulangan Di Hari Raya, Kelly menganggap tiada sebab untuknya berputus asa dan terus mengejar impian bergelar seorang penyanyi.
“Saya tahu ramai yang tak berpuas hati dengan saya dan pastinya kehadiran single ini akan dikritik, lebih-lebih lagi apabila ada netizen yang menganggap saya tak layak bergelar penyanyi.
“Tapi, saya rasa layak menjadi seorang penyanyi kerana mempunyai nada suara yang sedap dan mempunyai bakat tersendiri dalam bidang muzik. Saya yakin dengan bakat dan suara yang diberikan oleh Allah untuk saya demi menghiburkan peminat.
“Biarpun saya menerima kecaman, ramai juga peminat yang memberikan sokongan tak berbelah bahagi. Jadi, itu menjadi sebab untuk saya terus berusaha dalam bidang seni tanpa rasa bosan dan penat. Lagipun, ini adalah bidang yang diminati dan saya tak akan berhenti untuk memberikan yang terbaik,”katanya.
Selain itu, kata Kelly, dia juga yakin untuk tampil dengan single balada dan sedang dalam perancangan untuk berkolaborasi bersama trio BBNU.
“Saya teruja kerana lagu itu dicipta oleh komposer prolifik, Sharon Paul. Doakan segalanya dipermudahkan,” katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai single raya terbarunya itu, kata Kelly, lagu tersebut menyaksikan duetnya bersama Isma AF7 dan mendapat sentuhan S. Atan sementera liriknya ditulis oleh Tanty dan Miss Darna. S
“Sepatutnya lagu ini dikeluarkan pada tahun lalu tetapi atas kekangan pandemik, lagu ini baru dapat direalisasikan pada tahun ini. Idea untuk menghasilkan lagu ini datang dengan spontan bersama Isma. Semuanya dipermudahkan biarpun menghadapi rintangan dan akhirnya lagu ini muncul selepas setahun menanti.
“Menerusi single Nikmat Di Hari Raya, kami bekerjasama dengan Sony Music. Alhamdulillah, lagu ini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital pada 15 April dan jika tiada aral melintang, ia bakal berada di saluran YouTube Sony Music Malaysia pada 30 April ini.
“Lagu ini mengisahkan mengenai nikmat untuk kembali meraikan lebaran bersama keluarga dan teman tersayang pada tahun ini selepas dua tahun tidak bersama kerana Covid-19. Saya berharap lagu ini dapat sambutan yang baik, Insya-Allah,” katanya.
Nikmat Di Hari Raya merupakan single ketiga Kelly selepas Kepulangan Di Hari Raya (2010) dan No No No (2017).