Kalau pelakon tak jaga sikap, penerbit pun tak sudi ambil - Jaja Ishak - Utusan Malaysia

Kalau pelakon tak jaga sikap, penerbit pun tak sudi ambil – Jaja Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penerbit drama, Jaja Ishak, tidak menolak, setiap pelakon atau mereka yang ingin menceburi bidang seni ini harus menitik beratkan aspek sikap dan kelakuan yang baik demi memastikan kelancaran urusan kerjaya masing-masing.

Menurut Jaja, rekod yang bersih selain menjaga disiplin dalam etika kerja juga mencerminkan personaliti seseorang pelakon tersebut selain tahap serius mana mereka ingin menjadikan dunia seni hiburan ini sebagai suatu kerjaya.

“Saya bercakap dari posisi seorang penerbit yang telah berkecimpung dalam dunia seni ini sekian lama. Kalau nak kata seseorang pengarah atau penerbit itu mempunyai mana-mana artis atau pelakon kegemaran, itu saya tak nafi.

“Tapi kenapa keadaan itu berlaku? Sudah tentu setiap penerbit ada pelakon kegemaran mereka. Kalau awak bermasalah, kemudian berlakon pun ‘sendu’ atau tak berapalah orang kata, kemudian nak berlagak tak kena tempat, penerbit mana yang sudi nak ambil berlakon?

“Kalau tanya saya sendiri pun, saya mengaku ada barisan pelakon yang digemari. Mereka ini yang saya lihat serius nak mengembangkan kerjaya seni sendiri dan tak buat perangai. Mudah berurusan dengan mereka, itu saya suka,”katanya.

Jaja berkata demikian semasa ditemui dalam sebuah majlis berbuka puasa bersama media di Bukit Kiara, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, timbul rungutan dalam kalangan artis yang mendakwa terdapat penerbit yang mempunyai pelakon kegemaran sehingga menyukarkan mereka untuk mendapat tawaran berlakon.

Dalam pada itu, Jaja turut menjawab persoalan mengenai isu sama ada ternyata industri seni kekurangan pelakon memandangkan terdapat syarikat produksi yang kerap melakukan sesi uji bakat untuk memilih pelakon.

“Dalam hal ini, bukan soal pelakonya yang tak cukup. Tetapi apabila sesi penggambaran berjalan serentak sekarang ini, maka ramai pelakon tidak dapat memberikan komitmen untuk tawaran lain.

“Saya ambil contoh mudah di mana permintaan lebih banyak daripada pengeluaran. Jadi, apabila adanya sesi uji bakat ini kita dapat mencari pelapis baru sebab sampai bila nak harapkan hero atau heroin yang ada sekarang kerana perubahan itu akan sentiasa berlaku.

“Pada saya uji bakat yang dijalankan oleh sesebuah syarikat produksi adalah satu inisiatif yang baik dan perlu dilakukan. Ia akan menyuntik persaingan yang sihat dalam kalangan pelapis-pelapis aktor dan aktres tanah air,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya