PETALING JAYA: Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang kini berada di Mekah bagi menunaikan ibadah umrah berhasrat untuk membawa ahli keluarganya yang lain pada masa akan datang bagi bersama-sama merasai pengalaman beribadah di Tanah Suci.
Perkara itu dikongsikan penyanyi tersebut menerusi beberapa klip pendek di Instastory Instagram, ketika dalam perjalanan ke Madinah menaiki kereta api.
Menurut Siti, selepas menetap di kota Madinah selama dua hari, dia terus pulang ke tanah air bagi menyambut lebaran bersama keluarga tercinta.
Selain itu, dia juga menitipkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana segala urusan ibadahnya dipermudahkan.
“Lokasi terakhir kita adalah di Madinah untuk dua hari. Insya-Allah selepas itu saya pulang ke Malaysia bagi menyambut raya Aidilfitri bersama anak-anak, suami serta keluarga.
“Alhamdulilah, syukur perjalanan dan umrah saya dipermudahkan. Ia juga satu pengalaman yang sangat indah buat saya.
“Insya-Allah, saya memang ingin kembali lagi sekali umrah nak membawa Muhammad Afwa, Aafiyah serta satu keluarga. Insya-Allah, doakan,”katanya.
Pada Isnin, Siti mengambil kesempatan menghabiskan hari-hari terakhir Ramadan kali ini dengan menunaikan umrah.
Pada kali ini, penyanyi lagu Kau Kekasihku itu berangkat mengerjakan umrah bersama pengurusnya, Rozi Abdul Razak dan kakak iparnya, Datin Zaiton Mohd Jiwa.