KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara senior, Jaafar Onn, 71, nampaknya seiya sekata dengan pandangan masyarakat yang berasa hairan dengan keperluan pengumuman perwartaan penggunaan pelitup muka dengan cop SIRIM.
Menerusi sebuah hantaran yang dibuat di platform Tiktok semalam, Jaafar meluahkan rasa gusar dengan perwartaan tersebut yang dianggap tidak sesuai diaplikasikan memandangkan rakyat juga sedang bergelut untuk mencari sumber rezeki pada waktu ini.
“Saya nak bertanyalah, adakah patut nak pakai pelitup muka yang ada cop SIRIM pula? Apalah? Benda ini menyusahkan orang. Selama ini tak pernah ada pun SIRIM itu? Kenapa pula sekarang nak begitu?
“Saya rasa ini semua bisnes saja ini. Ingat orang Malaysia ini kaya rayakah? Asyik nak kenakan duit pada kita semua. Orang nak car duit pun susahlah. Apa benda nak cop SIRIM segala bagai?
“Selama ini tiga tahun tak pakai yang ada cop itu pun, tak ada apa. Mati lagi adalah,”katanya.
Perkongsian tersebut kemudiannya mendapat perhatian ramai pengikutnya di ruangan komennya dengan rata-ratanya bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh pengacara tersebut.
Menerusi tinjauan Utusan Malaysia, pengikut dan netizen yang melontarkan komen menganggap perwartaan itu bukanlah satu keperluan selain melihat seolah-olah wujud pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh.
Terdahulu, beberapa hari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan mengumumkan, berkuat kuasa 4 Julai depan, semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.
Iia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, dua hari lalu.
Bagaimanapun, semalam, satu kenyataan baru telah dikeluarkan oleh KPDNHEP yang mengumumkan pula penangguhan implimentasi tersebut sehingga 1 Januari tahun hadapan.
Penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas dari umum.