Ciplak lagu Indonesia? Tak ada isu itu - Aiman Sidek - Utusan Malaysia

Ciplak lagu Indonesia? Tak ada isu itu – Aiman Sidek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Baru sahaja tampil dengan single berjudul Cinta Sejati, penyanyi, Aiman Sidek dihambat dengan tuduhan menciplak lagu dari negara seberang.

Tampil menjelaskan, kata Aiman, tidak wujud istilah menciplak pada karyanya kerana Cinta Sejati merupakan ciptaan sepenuhnya bersama adik perempuan, Alin Sidek.

“Saya akui memang ada dengar maklum balas dan reaksi lagu itu macam lagu dari seberang. Jika benar seperti disangka, ia penghargaan untuk saya khususnya. Saya tidak melihat perkara itu sebagai membebankan. Tak ada isu ciplak pun.

“Namun, apa saya boleh katakan, lagu ini masih ada cita rasa Malaysia yang tinggi. Mungkin berdasarkan penggunaan kata puitis dalam lirik lagu itu pantas membuatkan orang ramai anggap ia karya seberang,” katanya.

Aiman berkata demikian bagi mengulas mengenai lagu tersebut yang didakwa mempunyai persamaan dengan karya nukilan komposer dan penyanyi seberang, Melly Goeslow dan Irwansyah.

Selain itu, kata pemenang tempat kedua Akademi Nasyid terbitan TV9 itu, beberapa buah lagu ciptaannya sebelum ini juga menggunakan bahasa puitis.

“Macam lagu Bunga Dhia, Pria Arjuna dan Larut pun menggunakan formula sama dengan penggunaan bahasa puitis untuk menyentuh hati masyarakat kita.

“Cuma ketika itu, belum rezeki saya untuk menyerlah dengan lagu-lagu berkenaan. Tak sangka, rezeki saya kali ini menerusi lagu Cinta Sejati mula diterima ramai.

“Orang mula nampak apa yang mahu disampaikan dalam setiap karya curahan saya,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar, Mohamad Aiman Md Sidek ini duet dengan adiknya terjadi secara kebetulan.

Selain Alin, dua adik lelakinya juga mempunyai band muzik.

“Saya anggap ia kebetulan yang ajaib. Dari zaman dia belum berkahwin lagi saya cuba ajak berduet. Namun, semuanya ditolak dengan alasan dia malu dan tak yakin.

“Sedangkan saya sedar, dalam kalangan adik-beradik, dia ada vokal unik. Tapi kali ini dia nak pula berduet. Mungkin juga sebab dia tengah berbadan dua sampai terbuka hati. Usia kehamilannya nak masuk tujuh bulan. Rezeki anaknya mungkin, sampai lagu ini meletup.

Dalam pada itu, kata Aiman, pertaruhannya dianggap menjadi kerana lagu ini memberi impak besar dan diterima baik oleh kalangan pendengar.

Malah, jumlah tontonan video lirik lagu ini di YouTube pun sudah mencecah hampir 350,000 selain lebih 10,000 perkongsian di TikTok dengan tontonan lebih 10 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya