KUALA LUMPUR: Penyanyi yang kini sedang hangat dengan lagu Cinta Sampai Mati, Raffa Affar, mendedahkan lagu yang berjaya mencipta fenomena tersebut mempunyai judul yang lain sebelum penetapan dibuat.
Menurut Raffa atau nama sebenarnya, Raffa Aldiansyah, 20, judul asal lagu tersebut ialah Dengarkanlah dan ia telah diubah kemudiannya sebagai inisiatif untuk menyesuaikannya dengan pelbagai situasi.
“Single ini merupakan ciptaan Ayu Rizki Yani, isteri kepada Dodhy gitaris kumpulan Kangen Band dan di lancarkan di bawah label muzik Hayat Kreatif Studio. Sebelum ditukar kepada Cinta Sampai Mati, ia diberi judul Dengarkanlah.
“Kami berpendapat, judul ini lebih meluas dengan harapan lagu ini dapat disampaikan mesejnya yang mempunyai maksud cinta kepada kedua ibu bapa yang masih ada mahupun yang telah tiada.
“Selain itu lagu ini sesuai ditujukan kepada keluarga dan terhadap pasangan, maka terciptalah judul baru,” menurut Raffa dalam satu kenyataan.
Selain itu, Raffa juga melahirkan rasa syukur dengan sambutan hangat daripada pendengar dan peminat terhadap penerimaan lagu ‘berhantu’ tersebut yang popular di aplikasi Tiktok mahupun Instagram.
Dalam pada itu, Raffa juga meluahkan bahawa dia sudah lama mengimpikan untuk memiliki single sendiri.
“Sudah lama ingin mempunyai single original sendiri dan terwujud pada single Cinta Sampai Mati dan saya berharap single ini disukai orang ramai.
“Selain membawa genre sendiri, saya juga suka membuat saduran lagu popular lain dan dimuat naik ke dalam akaun media sosial,” katanya.
Sebagai informasi, selain Hayat Kreatif Studio untuk pasaran Malaysia, Brunei serta Singapura, Botram Media Entertainment merupakan label muzik untuk pasaran di Indonesia dan lain–lain negara.
Untuk rekod, anak jati kelahiran Depok, Jawa Barat, Indonesia ini, mempunyai 874 ribu pengikut di Instagram dan lebih dari empat juta pengikut di aplikasi TikTok.