KUALA LUMPUR : Perasaan sedih membaluti jiwa dan raga pelawak dan anggota kumpulan Bochey, Achey, apabila dia memaklumkan ibunya, Allahyarham, Ngaisah Hassan, 74, telah pun meninggal dunia sekitar pukul 12.46 tengah malam tadi.
Perkara itu dikongsikan oleh Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 35, di Instagram selain memuat naik sebuah video yang memaparkan dirinya sedang menghentikan motosikal yang ditunggangi sambil menangis dan membacakan surah Al-Fatihah buat Allahyarham ibunya.
Difahamkan, ketika itu, Achey sedang dalam perjalanan pulang usai tugasannya.
“Innalillahiwainnahilairojiun. Berapa hari saja lagi mak kita nak beraya. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan mak di sana. Kami reda Ya Allah. Achey atas motor lagi ini mak, baru balik kerja.
“Mak baik. Mak pergi pada bulan yang baik. Moga mak jalani waktu yang terindah… Al-Fatihah,”tulisnya.
Perkongsian tersebut kemudiannya dihujani dengan ucapan takziah daripada peminat dan pengikut termasuk rakan-rakan artis yang turut sama berduka dengan pemergian arwah.
Antara yang berbuat demikian ialah Zizan Razak, Hairul Azreen, Kaka Azraff, Nabil Ahmad, Yusuf Bahrin, Beto Kusyairi, Anita Baharom, Fiza Halim, Indah Ruhaila, Faizal Tahir, Izzue Islam dan ramai lagi.
Turut tidak ketinggalan ialah sahabat dan rakan seperjuangan Achey, Fad Bocey, yang berkongsi satu coretan di Instagramnya.
“Mak pergi di bulan yang mulia mak…Kuat sahabatku Achey dna adik-beradik yang lain. Allah sayang mak. Aku ada untuk kau Nasir. Kuat ya Achey,”katanya.
Sebelum ini, difahamkan, arwah ibu Achey menghidap masalah kerosakan organ pankreas sejak setahun yang lalu namun enggan menjalani pembedahan awal.
Disebabkan itu, keadaan menjadi bertambah parah sehingga telah menyebabkan bahagian perutnya membengkak akibat saluran hempedu dan hati tersumbat.
Achey sebelum ini juga berduka kerana kehilangan ayah tercinta, Hamzah Salam, 85, dilaporkan meninggal dunia pada 18 Mac 2021.