KUALA LUMPUR : Menghadiahkan sebuah kereta jenis Polo Volkswagen kepada adiknya baru-baru ini, pelakon, Sweet Qismina, 25, bagaimanapun enggan ada pihak tersalah faham dan menganggap dia mahu bersikap lepas tangan dalam bab menjaga ibunya.
Tampil menjelaskan, Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi berkata, tujuan kereta itu dihadiahkan adalah bagi memudahkan adiknya membantu ibu mereka sekiranya dia sibuk bekerja.
“Saya beli tunai kereta itu, memang dah tak ada bulanan. Tak ada sebab lain pun. Sebab adik dah habis sekolah dan perlukan kenderaan untuk ke kolej nanti.Saya pun nanti akan sibuk dengan kerja dan tidak lama lagi berkahwin.
“Selama ini kalau adik hendak ke mana-mana, saya yang akan hantarkan. Adik pun sudah boleh memandu sendiri, jadi selepas ini mudahlah dia untuk bergerak dan membawa mama keluar berjalan-jalan atau kemana-mana.
“Memang niat untuk hargai adik sebab dia dah banyak tolong saya selama ini. Jangan salah faham pula, saya tak ada niat buat begini sebab nak lepas tangan jaga mama,”katanya.
Sweet berkata demikian semasa ditemui pada satu majlis berbuka puasa anjuran Astro di ibu kota, baru-baru ini.
Turut hadir menemaninya ke acara tersebut ialah tunangnya, Adam Lee.
Selain itu, kongsi Sweet, kereta bernilai RM80,000 tersebut juga dihadiahkan kepada adiknya sebagai tanda istimewa bahawa dia akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
“Boleh juga anggap ini hadiah sebelum saya kahwin. Rasanya, semua orang tahu daripada kecil, mama dengan saya memang rapat. Kemana-mana sahaja bersama. Tapi kali ini, saya cuma mahu sediakan kemudahan buat dia menerusi adik.
“Walaupun saya sudah berkahwin nanti, mama tetap di bawah tanggungjawab saya. Apa-apa pun memang saya akan jaga dia,”katanya..
Sekadar info, pelakon muda ini merupakan anak keempat daripada lima orang adik beradik.
Sweet mempunyai dua orang abang dan seorang kakak.
Namun kakaknya, Farhanna Qistina, meninggal dunia pada usia 21 tahun dalam kemalangan jalan raya pagi 1 Syawal pada 18 Jun 2015.