KUALA LUMPUR : Pelakon, Hariss Annuar berkongsi kegembiraan bila salah seorang pengikut media sosialnya konsisten melakukan solat asbab perkongsian video darinya berhubung ajakan untuk mendirikan solat sebelum ini.
Dalam perkongsian Harris, 28, di akaun Instagramnya, jika media sosial dimanfaatkan sebaik-baiknya, ia pasti akan membuahkan hasil.
“Awaklah saham akhirat saya. Jadi geng (kawan-kawan) salah satu sahaja, kita sebarkan kebaikan atau mengaibkan diri sendiri. Pilihlah pilihan yang terbaik.
“Kuasa media sosial kalau digunakan dengan elok! Alhamdulillah saya rasa gembira untuk awak,” katanya.
Pada perkongsian hantaran tersebut, individu itu tampil menerusi mesej secara langsung meluahkan kesyukurannya dan berterima kasih kepada pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu.
“Saya cuma nak bagi tahu, abang sudah menjadi orang tengah. Allah hantar supaya saya mula untuk solat.
“Saya sudah konsisten empat tahun. Terima kasih buat video yang abang cakap untuk mulakan saja solat.Saya ikut dan Alhamdulillah lama-lama biasa,” katanya lagi.
Serentak dengan perkongsian itu, seorang pengguna lagi menerusi ruangan komen berkongsi rasa terkesan dengan salah satu kandungan video yang pernah dihasilkan oleh Harris.
“Saya pun tersentap dengan satu video berkaitan bila mendengar laungan azan, kenapa kita tidak rasa teruja atau tertunggu waktu untuk solat?
“Kita hamba-Nya, sepatutnya rasa teruja untuk pada setiap waktu sebab berbicara dengan Maha Pencipta,” tulis pengguna IG, @hanisah1341