KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Asfan Shah mengakui ada melakukan kesilapan dalam rumah tangga namun bertekad untuk memperbaiki kelemahan itu.
Jelasnya, meski hal tersebut sudah lama tetapi konflik itu jugalah asbab Asfan atau nama penuhnya Norasfan Shah Shah Rudin, 38, tergerak hati mendalami agama dan menghadiri majlis kerohanian.
“Semua orang buat silap dan saya akui buat juga. Namun semua orang pun tak lari dari kesilapan juga bukan? Sebab itulah saya keluar mengenali diri sendiri,” ujarnya.
Asfan berkata demikian ketika di temui pada majlis berbuka puasa Rusa Muzik di Puchong baru-baru ini.
Ditanya adakah penglibatan aktiviti kerohanian di luar kawasan sekadar ikutan semata-mata, kongsi penyanyi yang popular menerusi lagu Sumpah Cintaku itu berkata, hal yang baik tiada salah jika dituruti.
“Ada tanya macam trend sebab ramai kalangan artis berbuat demikian. Kalau trend bagus kenapa tidak kita teruskan?
“Serupa juga dengan berfesyen nampak seronok kita teruskan. Jadi tiada salah perkara baik kita ikutkan.
“Duduk di dunia ini saya letak inilah kerja hakiki saya seperti mana para sahabat buat. Baru saya tahu bila duduk dalam jemaah banyak ilmu yang belum dipelajari,” akuinya.
Untuk rekod, Asfan bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Aku Lelaki Mu dan dijadikan runut bunyi untuk sebuah drama di saluran TV3 pada bulan Julai depan.