KUALA LUMPUR : Meletakkan sasaran untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam industri hiburan tanah air, label pengurusan artis baru, Armani Entertainment Group (AEG) komited dalam memasarkan artis-artis baru yang bernaung di bawah jenama mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AEG, Datuk KK Chua, labelnya bertanggungjawab menjadi wakil dan penasihat profesional bagi pemuzik dan pelakon selain itu bertindak sebagai Platform Selebriti Profesional yang memberi jaminan, pulangan modal konsisten dengan menyediakan platform ke dunia hiburan bagi individu berbakat dan berperwatakan menarik.
Selain itu, kata Chua, sebagai tambahan, AEG juga bertindak sebagai syarikat produksi yang terlibat dalam penghasilan video berkonten untuk TV, media sosial, promosi korporat, iklan dan lain-lain media.
“Misi AEG adalah untuk melahirkan bakat-bakat baharu yang dengan keperibadian baik dan boleh dijadikan sebagai role-model kepada masyarakat umum di Malaysia dengan cogankata label ‘impian anda kami jadikan kenyataan’.
“Artis-artis di bawah naungan kami terdiri daripada penyanyi serta pelakon baharu yang berbakat besar. Kami juga berbangga menjadi wakil beberapa artis bertaraf gred A tanah air seperti rapper terkenal, MK (K-Clique), pengarah tersohor, Michael Ang, pelakon TV popular, Farah Nabilah, dan hos TV, Elly Ariffin,” katanya.
Chua berkata demikian semasa ditemui di majlis berbuka puasa AEG di Hotel Hilton, di ibu kota, kelmarin.
Pada majlis yang sama, artis-artis AEG juga hadir bagi membuat persembahan dengan antaranya ialah Hasif Upin, Yunadia, Syauqi Danial, Emeer Bakri artis wanita berkumpulan, COEX.
Selain itu, kata Chua lagi, pihaknya menyusun perancangan masa hadapan untuk AEG dalam usaha menjadi sebuah syarikat dan peneraju label hiburan tanah air dan Asia Tenggara.
Pada majlis yang sama, AEG juga melancarkan lagu raya berjudul Nostalgia Raya nyanyian barisan artis naungan mereka.
Lagu Nostalgia Raya boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar melalui aplikasi penstriman atas talian – Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single Raya ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Armani Entertainment.