PETALING JAYA: Selepas tular dengan sebuah video dia menangis berpelukan dengan tiga orang anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, pelawak dan pelakon, Vicha Saywho,mengaku tidak sabar untuk membawa ketiga-tiga anaknya untuk beraya dan bercuti bersama.
Difahamkan, tahun ini merupakan kali pertama Vicha berpeluang bertemu anak-anaknya selepas dua tahun terpaksa menahan rindu memandangkan ketiga-tiga anaknya berada di Indonesia selama ini.
“Alhamdulillah, selepas dua tahun lebih, dapat berjumpa lagi dengan anak-anak. Ya Allah, tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan saya. Alhamdulillah Ya Allah di permudahkan segala urusan.
“Tidak sabar hendak membawa mereka berjumpa adik junior dan pasti mereka gembira sebab pertama kali berjumpa,”katanya.
Menerusi perkongsian sebelum ini, Vicha turut menzahirkan rasa gembira dan menitipkan kesyukuran kehadrat Ilahi apabila urusan bertemu cahaya matanya itu dipermudahkan.
“Akhirnya perialanan yang cukup panjang buat saya setelah beberapa tahun tidak bertemu anak-anak.
“Alhamdulillah, kali ini rezeki dan izin dari Allah, akhirnya dapat beraya bersama mereka di Malaysia,” ujarnya.
Sekadar informasi, pelawak itu memaklumkan bahawa dirinya sudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki dari Nigeria yang dikenali sebagai Johnson.
Dia bernikah pada tahun 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Michael Trevor Ayomide yang kini berusia dua tahun.
Terdahulu, Vicha dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan hasil perkahwinan pertamanya dengan bekas suami.