PETALING JAYA: Penyanyi terkenal tanah air, Ziana Zain, belum berkesempatan untuk bertemu bersama cucu saudaranya, Nur Khawla Soleha atas tujuan keselamatan dan kesihatan bayi tersebut.
Menurut Ziana, dia hanya melihat wajah puteri sulung pasangan penyanyi popular, Ernie Zakri dan Syamel itu menerusi gambar yang dikirimkan sahaja.
“Belum sempat berjumpa kerana kami masih fikirkan virus Covid-19 ini. Lebih-lebih lagi saya baru sahaja sembuh daripada jangkitan virus tersebut.
“Jadi, lihat sahaja lah gambar bayi jika dia ada menghantar. Tiada tekanan lah untuk melihat cucunda. Ada rezeki di kemudian waktu, dapatlah berjumpa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, ahli keluarganya juga tidak melakukan panggilan video bagi melihat wajah bayi perempuan itu kerana tidak gemar menganggu dan memahami privasi.
“Kami juga tidak membuat panggilan video pun kerana keluarga kami jenis yang tidak suka menggangu privasi orang lain.
“Kalau mereka itu sendiri mempunyai inisiatif nak tunjuk kepada kita, saya tidak kisah. Sebagai artis, saya pun faham,” ujarnya.
Sekadar informasi, penyanyi lagu Ku Bersuara itu selamat melahirkan bayi sulungnya sekitar jam 10.14 pagi pada tanggal 22 Februari lepas.
Pasangan merpati dua sejoli itu mendirikan rumah tangga pada 26 Mac tahun lalu, di Masjid Puncak Alam, Selangor.