Ya, saya banyak kekurangan - Lah Ahmad - Utusan Malaysia

Ya, saya banyak kekurangan – Lah Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebenarnya, sudah lama saya menyimpan hasrat untuk meletakkan anak seni ini sebagai penghias sampul hadapan Pancaindera. Entah mengapa, baru sekarang  saya realisasikan.

Lah Ahmad bukan nama asing. Dia seorang penyanyi yang berdiri di atas bakat sendiri. Dengan suara, dia memukau. Menjerat setiap halwa pendengaran.

Eksklusif? Kedua – duanya. Bakat suara atau keperibadian. Lah seorang penghibur yang unik dan tersendiri. 

Hampir 25 tahun menyanyi. Perjalanan itu pasti mematangkan Lah. Dirinya yang sekarang adalah satu jiwa yang semakin tenang. Saya menyaksikan itu, ketika bertemunya baru-baru ini.

Saya minta Lah tafsirkan erti penghijrahan. Sebab saya tahu, dia menyimpan tafsirannya sendiri tentang perubahan. Setidaknya, dia faham akan fasa peralihan itu.

“Pada 2011, saya berhijrah. Cari jalan kembali kepada Allah. Saya tinggalkan muzik untuk mencari asas agama. Tiga tahun.

“Kita semua  pernah membuat kesilapan. Saya juga melalui fasa-fasa tertentu dalam hidup. Ya, saya banyak kekurangan. Saya dambakan penyucian diri. 

“Kehidupan pula ada naik dan turunnya. Ada manis dan pahitnya. Kenapa saya berubah? Sebab tidak selesa dengan kehidupan dahulu. Hijrah saya adalah untuk kehidupan lebih baik,” ceritanya. 

Kata Lah, seperti semua manusia lain, dia juga menyimpan ketakutan. Apabila saya minta dia kongsikan tentang ketakutan itu, dia luahkan.

“Saya ini selalu berfikir panjang. Di akhirat nanti, kita akan disoal balik. Apa yang saya nak jawab depan Allah?

“Kita pasti ditanya nanti. Tentang setiap tindakan dan langkah. saya risau itu. Kalau selama ini, saya ada mengguris perasaan orang. Tak bayar hutang. Menyakiti orang.

“Doa saya. Sebelum tutup mata, saya nak cukupkan yang kurang. Kemaskan mana yang perlu. Itu keinginan saya, sebelum menghadap-Nya,” luahnya.

Tak pernah guna ‘auto tune’

Tidak keterlaluan jika saya kategorikan Lah Ahmad sebagai antara penyanyi lelaki terbaik yang ada di negara kita.

Tidak, saya bukan meletakkan dia pada tahap itu semata-mata kerana kemampuan vokalnya. Sebenarnya lebih daripada itu. Bagi saya, dia faham tentang disiplin dan pengorbanan seorang penyanyi.

“Saya ada pantang larang yang saya jaga. Kena jaga suara. Model kena jaga rupa. Atlet kena jaga kesihatan. Penyanyi, jaga suara.

“Saya tak pernah guna auto tune. Sejak dulu. Mungkin di awal pembabitan saya terbiasa dengan rakaman analog.

“Jadi,saya sudah dilatih menyanyi macam itu. Kena betul-betul. Kalau silap, buat balik,” katanya.

Bagaimanapun, Lah akui. Pada usia sekarang dia tidak perlu bersaing. Lah hanya berharap dapat terus berkarya dan kekal relevan.

“Saya perhatikan. Artis baharu perlu diberi peluang. Tengok penyampaian dia orang macam mana, kerja dia orang pula macam mana. Seperti juga saya, yang diberi ruang oleh penyanyi lebih berpengalaman untuk mewarnai industri.

“Saya tak perlu bersaing dengan anak-anak muda. Artis adalah orang seni. Kerja kami melibatkan kerja seni. Bukan semata-mata kejar like atau rating.

“Saya tak pandang sangat perkara itu. Kadang kita di atas, kadang di bawah. Saya sudah lalui semua itu, pernah merasa” ceritanya.

Album baru? Insya-Allah

Perjalanan seni seorang Lah Ahmad semakin ke depan. Tahun ini adalah tahun penuh kejutan. 

Dalam dunia masih berperang dengan pandemik, Lah tidak patah semangat. Baginya hidup perlu diteruskan. 

Dia perlu bekerja dan bijak berstrategi untuk kekal relevan. Selain sibuk memenuhi undangan nyanyian majlis-majlis perkahwinan, Lah juga giat mengusahakan album terbaru.

“Album baru? Insya-Allah. Sekarang saya sedang siapkan yang keempat. Dah mula pre production. Tengah buat rangka lagu. 

“Jumlah (lagu) belum ada ketetapan. Bergantung kepada masa dan keupayaan. Saya tak boleh nak buat banyak. Mungkin lima atau enam sahaja. Insya-Allah,” katanya.

Apabila saya tanyakan, apa lagi yang dia mahukan sebagai anak seni? Jawab Lah, semua mencukupi. Katanya, semua yang Allah bagi, sudah memadai.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Pada umur begini, apa lagi yang saya mahukan? Rasanya semua Allah dah bagi.

“Waktu muda, tak pernah cukup. Tapi sekarang, tak ada apa lagi dah. Saya cuma fikir anak-anak, keluarga. Bagi cukup untuk mereka. Zahir dan batin.

“Oh ya, saya harap dapat terus bekerja.  Insya-Allah. Sebab minat. Atau mungkin lebih daripada itu,” jawabnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya