KUALA LUMPUR: Penyanyi dan peserta program Big Stage 2022, Danial Chuer, mengaku dia sukar membuang perasaan yang mengganggu di jiwa setelah dilemparkan dengan komen dan disamakan dengan model terkenal antarabangsa, Bella Hadid ketika membuat persembahan pada minggu kelima lalu.
Kata Danial, panggilan Danial Hadid buatnya tempoh hari menjadikannya runsing untuk mempersembahkan lagu Hatinya Tak Tahan pada konsert minggu lalu kerana bimbang sekali lagi disamakan dengan mana-mana perwatakan feminisme.
“Tipulah sebagai individu rasa tidak terganggu. Sebenarnya saya agak terganggu selepas beberapa hari orang asyik gelar saya ‘Danial Hadid, Bella Hadid’.
“Saya tahu netizen mesti fikir bila saya dapat lagu Noraniza Idris mesti akan anggap saya akan jadi lagi seperti Bella Hadid lagi.
“Tapi selepas beberapa hari, saya anggap ia sekadar lawak. Saya ambil secara positif sebab saya cabar diri buktikan tanggapan orang itu salah,” katanya.
Danial berkata demikian semasa ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, kelmarin.
Pada minggu lalu, Danial yang menyanyikan lagu Gila menerima komen panas daripada juri pedas Datuk Syafinaz Selamat yang menyamakan cara dia berjalan seperti model antarabangsa tersebut.
Tidak cuma itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga menyatakan rasa setujunya dengan komen Syafinaz selain meminta Danial agar lebih maskulin pada persembahan akan datang.
“Bagaimanapun, selepas beberapa hari, saya fikir dan anggap sahaja ia sekadar jenaka. Saya ambil secara positif sebab sebab saya cabar diri buktikan tanggapan orang itu salah,”katanya.
Dalam pada itu, pada persembahan suku akhir, penyanyi berusia 21 tahun ini menduduki tempat kedua dengan markah sebanyak 91.6 peratus.
Malah, persembahan Danial turut menerima pujian daripada barisan juri tetap iaitu Ajai, Siti Nurhaliza dan Aliff Aziz.
Berkongsi lanjut, Danial juga mengaku bahawa minggu suku akhir memberi cabaran kepadanya terutama dari segi lagu dan persepsi orang terhadapnya.
“Sangat mencabar minggu suku akhir. Benda yang saya fikir bila dapat lagu Hatinya Tak Tahan ini dari sudut yang feminin. Saya tak nak digelar Danial Hadid lagi.
“Takut selepas ini, digelar Danial Idris pula. Memang memberi tekanan sebab lagu itu saya tak pernah menyanyi dan lagu Noraniza Idris itu juga antara yang susah.
“Orang kenal saya dengan lagu bergenre jazz, balada dan blues. Bila dapat tugas ini, saya fokus kepada vokal.
“Saya dapat langkah untuk menari pun pada petang, Sabtu. Hanya 24 jam saja untuk berlatih dan itu juga cabaran untuk saya,” katanya.