PUTRAJAYA : Teguran dan komen yang dibuat terhadap persembahan peserta, Daniel Chuer, di pentas akhir program Big Stage 2022 malam semalam telah menyebabkan nama Ajai juga menjadi perhatian di ruangan media sosial terutamanya di Twitter.
Menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap program itu bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ajai sedia maklum mengenai salah faham yang berlaku semasa dia melontarkan komen mengenai persembahan duet Daniel bersama penyanyi, Shila Amzah.
Jelas Ajai, dia tidak ‘menghentam’ Shila sebagai penyanyi jemputan yang cuba membayangi Daniel semasa duet berlangsung tetapi sebaliknya menganggap ia tidak berlaku pada persembahan mereka.
“Saya tak cakap Shila ‘overshadow’ Daniel. Cuma apa yang saya buat adalah menjelaskan apakah modul sepatutnya jika nak berduet dengan penyanyi jemputan. Itu adalah modul yang saya nyatakan.
“Saya ada sebut bahawa ini tidak terjadi di sini (merujuk kepada persembahan di Big Stage 2022),”katanya.
Ajai berkata demikian semasa ditemui pada sidang media usai program tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
Selain itu, ditanya sama dia sedar bahawa perkara tersebut telah menjadi bahan kekecohan di Twitter, Ajai mengangguk dan berkata iya.
“Iya, saya sudah tengok segala DM dan komen yang ada. Itu namanya selamat hari raya….”seloroh Ajai.
Terdahulu, Ajai ketika memberikan komen terhadap persembahan Daniel menerusi sebuah lagu Korea berjudul Still Love You nyanyian asal Lee Hong Gi dan Yoo Hwe Seung.
Kata Ajai, setiap peserta harus berhati-hati dalam memilih pasangan duet dan penyanyi yang dijemput sebagai pasangan itu juga harus sedar diri dan ruang untuk tidak berlebihan membayangi peserta tersebut.
“Bila nyanyi lagu duet, terutama dalam pertandingan, pemilihan pasangan itu penting. Pertama, pasangan jemputan tak boleh sesekali ‘overshadow’ peserta. Kekuatan penyanyi dengan penyanyi jemputan itu kena seiring.
“Kalau boleh, penyanyi jemputan itu kena ‘humble’ sikit. Biar yang peserta ini naik. Sebab markah kena pergi lebih kepada yang jemput ini, bukan pada yang dijemput. Benda ini terjadi pada ini (merujuk pada persembahan Daniel dan Shila),”katanya.
Semalam, pentas finale Big Stage telah melabuhkan tirainya dengan kemenangan berpihak kepada Elica Paujin yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi.
Tempat kedua pula menjadi milik Daniel Chuer sementara tempat ketiga diduduki oleh Aisha Retno.
Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 dan RM25,000 berserta trofi.
Sementara itu, Yazmin Aziz dan Tegar Septian pula diumumkan sebagai pemilik di tangga keempat dan kelima dengan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 dan RM10,000 serta trofi.