PUTRAJAYA : Penyanyi Indonesia, Tegar Septian, 21, mengaku masih mengamen atau menjadi penyanyi jalanan di tanah kelahirannya itu sebagai usaha untuk mencari pendapatan dan memberi anak isterinya makan.
Bagaimanapun, setelah memasuki program Big Stage 2022, dia ingin mengubah cara hidup dan pekerjaannya itu dalam misi untuk memberikan kehidupan yang lebih baik buat isteri dan anak tunggalnya yang berusia setahun, Abidzar Oktaviano Putra Septian.
“Saya tak pernah menganggap pekerjaan sebagai pengamen itu sesuatu yang memalukan. Saya tak malu. Sebab ia satu pekerjaan yang halal dan ya, saya akan buat sahaja demi usaha untuk mencari duit dan beri anak dan isteri makan.
“Bukan senang nak dapat kerja, apalagi di Indonesia. Mahu atau tidak, kena buat sesuatu dan tak berpeluk tubuh sahaja. Iyalah, daripada tiada rezeki. Kalau tak ada duit, nak makan apa?
“Tapi, kalau boleh saya dah tak mahu mengamen lagi. Saya nak susun semula perancangan saya untuk diri dan keluarga selepas ini,”katanya.
Tegar berkata demikian semasa ditemui usai sesi sidang media Konsert Finale Big Stage 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, Ahad lalu.
Selain itu, ditanya mengenai perancangannya menerusi wang kemenangan di tempat kelima yang diraihnya menerusi program tersebut, kata Tegar, dia ingin memulakan sebuah perniagaan di Indonesia.
“Saya tak nak sia-siakan wang kemenangan ini. Dengan RM10,000 ini, saya nak agihkan penggunaan untuk membina rumah dan menjalankan perniagaan kemungkinan makanan. Selain itu saya akan gunakan wang itu juga untuk membeli keperluan gajet seperti kamera, juga untuk tujuan kerja seni,”katanya.
Tambah Tegar lagi, dia serius untuk memikirkan cabang kerjaya dalam bidang perniagaan kerana sedar kerja mengamen tidak mempunyai pendapatan yang tetap.
“Saya tak tahulah kalau orang lain, tapi bagi saya, kerja mengamen yang dilakukan adalah serius. Saya tetap bersyukur sebab boleh bantu saya cari duit juga. Cuma, dari segi pendapatan, ya ia bergantung pada rezeki hari itu.
“Tak lumayan. Kalau dari pukul 7 pagi hingga 6 petang, paling banyak pernah saya dapat ialah RM100 sehari jika ditukar kepada nilai di sini. Sebab itu saya nak realisasikan juga hasrat berniaga ini,”katanya.
Dalam pada itu, Tegar memberitahu dia akan berangkat pulang ke Indonesia pada 31 Mac ini dan mengaku tidak sabar untuk bertemu dengan anak, isteri dan keluarganya di sana.
“Tak sabar nak pulang. Perkara pertama yang akan saya buat nanti adalah membawa mereka bercuti. Saya juga akan mengambil masa untuk berehat.Iyalah, rehatkan minda selepas lama fokus pada pertandingan ini,”katanya.