PETALING JAYA : Garis masa media sosial mula kecoh apabila warganet galak berteka-teki dan mengeluarkan ‘klu’ berhubung seorang penyanyi nasyid yang diberkas di sebuah kondominium di Kota Damansara semalam selepas menanam ganja di dalam rumah miliknya.
Rata-rata warganet mula membuat andaian dan berteka-teki sesama sendiri, selepas seorang pengguna Twitter yang juga wartawan, Mohd Faizal Hassan, berkongsi perkara tersebut menerusi satu ciapannya, pagi tadi.
Menguatkan lagi gambaran, Faizal memaklumkan penyanyi tersebut pernah menganggotai salah satu kumpulan nasyid dan kemudiannya bergerak solo.
Tambahnya lagi, difahamkan juga dia pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) ketika di puncak kerjaya seninya.
“Polis PJ menahan seorang penyanyi nasyid kerana disyaki terlibat kes berkaitan dadah di sebuah kondominium di Kota Damansara, semalam.
“Difahamkan, dia pernah mengganggotai sebuah kumpulan nasyid dan kemudiannya bergerak solo.
“Dia juga pernah memenangi AJL ketika di puncak karier,” ciap @f4izalhassan di Twitter.
Hasil pemerhatian Utusan Malaysia, rata-rata pengguna tampil mencoretkan ciapan dengan pelbagai nama selebriti tanah air, menerusi garis masa di platform tersebut.
Semalam, penyanyi berusia lingkungan 40-an itu diberkas di rumahnya dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemeriksaan dijalankan di rumah suspek mendapati terdapat sejumlah ganja yang ditanam dalam rumah.