Penyanyi jangan ala kadar, bukan cuma bertanding - Aisha Retno - Utusan Malaysia

Penyanyi jangan ala kadar, bukan cuma bertanding – Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Lapan minggu memperlihatkan konsistensi dalam persembahannya di program Big Stage 2022, penyanyi, Aisha Retno, bagaimanapun menolak andai ada pihak menganggap dia cuma berusaha memberikan yang terbaik cuma untuk menang.

Menurut penyanyi berusia 22 tahun ini,seseorang penyanyi itu harus menyemat dalam fikiran masing-masing untuk tidak bersikap ala kadar dalam memberikan persembahan dan nyanyian terbaik kerana peminat dan penonton meletakkan harapan tinggi pada artis yang mereka dukungi.

“Menyanyi ini adalah satu pekerjaan, malah ia adalah sesuatu yang dilakukan kerana minat yang menebal. Kalau betul ia adalah minat dan kita sangat-sangat sayang dengan pekerjaan ini, kena buat semaksimum mungkin.

“Bukan perasaan nak berusaha itu cuma ketika berada di pentas pertandingan semata-mata, tapi di tempat lain juga. Interaksi dengan peminat dan pengikut juga harus dikekalkan di media sosial. Sebagai contoh, rajin hasilkan bahan kandungan yang menarik termasuk projek-projek lagu yang boleh menambat hati lebih ramai peminat lagi,”katanya.

Aisha berkata demikian semasa ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), selepas berlangsungnya konsert finale Big Stage 2022 di sini, Ahad lalu.

Selain itu, kata Aisha, meski rezeki tidak berpihak kepadanya untuk menjadi juara program buat musim keempat ini, dia bagaimanapun bersyukur kerana peminat, penonton dan pengkritik industri mengingati persembahannya saban minggu.

“Itu yang saya cuba lakukan. Mahu setiap orang mengingati sampai bila-bila persembahan saya dalam Big Stage. Bagi saya, program ini menyediakan platform dan sebuah pengalaman besar, bukan sahaja untuk saya, tetapi juga kepada setiap daripada kami yang menyertai.

“Sebab itu juga saya percaya, konsistensi itu wajar berlangsung selepas tamatnya program kerana realiti sebenar adalah kerjaya kami selepas ini. Saya harap peminat dan penonton akan terus memberikan sokongan sampai bila-bila,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan dirinya tidak mampu menjadi juara kerana lemah dari aspek tarikan undian peminat, Aisha menganggap ia lebih kepada ketentuan rezeki.

“Tak boleh nak kata yang peminat tak buat undian sebab bagi saya, Aishalicious juga sudah memberikan yang terbaik dan mengundi. Ini berbalik kepada soal rezeki. Mungkin peminat peserta lain lebih kuat dan saya tak salahkan peminat sendiri.

“Nak buat macam mana, undian peminat daripada minggu satu lagi memang begitu. Tapi, saya tak kecewa. Saya akan rasa lebih kecewa jika dapat markah rendah daripada juri-juri

“Namun tak dapat dinafikan, kerana peminat jugalah saya berada di sini sekarang. Saya tetap akan hargai,”katanya.

Aisha di pentas akhir Big Stage 2022 diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000 serta trofi.

Pemenang tempat pertama dinobatkan kepada Elica Paujin yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 serta trofi selain Daniel Chuer di tempat kedua yang merangkul trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya