KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan Natasha Hudson yang baru mendirikan rumah tangga Ahad lalu, memaklumkan, dia sudah merancang untuk meninggalkan ibu kota dan memilih untuk menetap di Pulau Langkawi, Kedah selepas ini.
Menurut Natasha yang berusia 40 tahun, hasrat itu ingin direalisasikan olehnya bersama suami baru, Muhammad Harits Jasmin atau lebih dikenali sebagai Jay Jasmin memandangkan kedua-dua mereka ada mengusahakan perniagaan di sana.
“Kebetulan, kami berdua ini berkongsi minat yang sama dalam aktiviti bersukan dan lasak. Hujung tahun lalu, saya ke Pulau Langkawi kerana menguruskan urusan pembukaan pusat memanah. Suami pula mengendalikan perniagaan luncur ombak di sana.
“Akhirnya kami jadi rakan perniagaan dalam usaha menjadikan pulau pelancongan di Kedah itu sebagai tarikan. Tak sangka pula, berjodohan dan sekarang kami jadi teman sehidup semati pula.
“Insya-Allah selepas ini, sekitar minggu depan, kami akan pulang ke sana. Saya juga akan terus menetap di sana,”katanya.
Menurut Natasha, buat masa ini tiga orang puterinya, Neesa Helen, Naeema Kalila dan Faatimah masih menetap di ibu kota kerana bersekolah sementara dirinya juga masih berulang-alik ke KL untuk urusan kerja dan anak.
Selain itu, ditanya mengenai perancangan berbulan madu, kakak kepada Tania Hudson ini menjelaskan dia dan suami belum memikirkannya.
“Lagipun nak masuk bulan puasa tak lama lagi. Tengoklah nanti mungkin lepas raya.
“Saya pun nak kena pastikan urusan perniagaan menerusi pusat memanah di Langkawi terus berkembang,” katanya yang turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Sungai Petani selepas Syawal nanti.
Mengenai cahaya mata, baik suami dan Natasha hanya berserah.
Ahad lalu, Natasha mengejutkan ramai peminat apabila mengumumkan dirinya sudah berkahwin dengan Jay di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi.
Pada majlis nikah serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tersebut, tetamu yang diundang cuma 10 orang keluarga terdekat.
Pelakon filem Chermin itu hanya menerima mas kahwin RM300 selain bertukar dulang hantaran.
Mereka kemudian diraikan dalam majlis santai di kediaman ibu Jay juga di Bangi.
Natasha juga mendedahkan dia tidak meminta wang hantaran.