Isu Zul Ariffin, kita kena salahkan stesen tv - Zed Zaidi - Utusan Malaysia

Isu Zul Ariffin, kita kena salahkan stesen tv – Zed Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 42, percaya, kesalahan harus diletakkan di bahu stesen televisyen apabila merungkai isu yang berlaku terhadap babak panas Zul Ariffin yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, perkara ini juga berlaku kerana selama ini stesen tv sering mengutamakan jumlah pengikut seseorang pelakon yang perlu mencapai angka sejuta di media sosial.

“Mengenai Zul Ariffin ini, sebenarnya, kita kena salahkan stesen tv sebab mereka yang nak pilih pelakon untuk berlakon dalam drama mereka dan mengenakan syarat jumlah pengikut sejuta sebagai keutamaan.

“Ini yang berlaku apabila mereka tak tengok bakat seni. Kalau ada pengikut satu juta maka bolehlah promosi drama itu. Jadi, berlakulah isu seperti ini yang kononnya nak promosi drama mereka itu.

“Jadi, saya rasa tak mustahil juga akan ada lebih ramai lagi penggiat seni yang akan buat video promosi yang macam Zul buat. Sebab? Stesen tv yang nak ikut sangat ukuran jumlah pengikut sejuta itu bukan? “ katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram semalam.

Selain itu, sedar bahawa ada yang melatah menepis pandangannya itu yang dianggap tidak mempunyai kaitan, kata Zed, apa yang diperkatakan itu adalah pandangannya sendiri berdasarkan pemantauan dalam industri.

“Kalau sudah tak tengok bakat, tengok jumlah pengikut, tak mustahil ada lagi macam ini. Mungkin diorang (stesen tv) boleh paksa melalui kontrak pula? Mana kita tahu bukan?”katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan pemantauan di ruangan komen, ada antara pengikutnya melontarkan kata setuju dengan pandangan yang diberikan oleh Zed.

Menurut komen daripada pengguna, Sidtamrin, dia juga melihat pihak stesen tv umpama lepas tangan dan membiarkan aktor tersebut mengharungi kontroversi tersebut.

“Bila dah jadi macam ini, stesen tv lepas tangan. Ya, mereka adalah pelakon dan mereka berlakon dan bonuslah untuk promosikan drama lakonan untuk dapat pengikut baru selain menolong stesen tv untuk dapat rating tinggi.

“Jangan kata stesen tv tak tahu jalan cerita dan ada babak tambahan sebegitu yang boleh bantu mereka untuk dapatkan rating tinggi. Yang kotor dan jijik adalah permainan stesen tv. Bakat nombor dua, pengikut nombor satu!”katanya.

Komen tersebut juga kemudiannya disambut dengan kata setuju oleh Zed.

“Kalau mereka tambah bayaran ekstra untuk promosi okeylah juga. Tapi bila jadi kontroversi, mereka lepas tangan dan tak mengaku. ini lah perangai stesen tv hipokrit. Lepas itu artis yang jadi mangsa,”katanya.

Baru-baru ini, babak kurang manis di dalam drama ‘Perempuan Itu’ lakonan Zul Ariffin dan pendatang baru, Siti Hariesa telah menjadi bahan kecaman ramai.

Video berdurasi 23 saat sedutan sebuah drama yang dikatakan bakal ditayangkan pada bulan Ramadan menjadi tular di laman sosial selepas dimuat naik aktor itu ke Instagram miliknya.

Isu yang tular itu juga telah mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Katanya, Bahagian Hal Ehwal Agama tidak akan membiarkan perkara yang mencemarkan fitrah dalam agama dan akan menasihati.

Tidak hanya itu, ramai di dalam kalangan agamawan meluahkan kegusaran hiburan yang keterlaluan dalam membentuk corak fikir yang merosakkan anak muda.

Zul juga telah membuat permohonan maaf baru-baru ini menerusi akaun Instagram selain mendedahkan telah memberi kerjasama penuh dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya, Selasa lalu.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya