PETALING JAYA: Penyanyi, Diddy Hirdy, menentang sekerasnya budaya yang menggunakan kata-kata berunsur penghinaan dalam komunikasi harian.
Peserta Akademi Fantasi musim ke-4 (AF4) itu berkata, tidak kira sama ada ketika menuntut ilmu atau bekerja, seorang penghina itu disifatkan sebagai tidak menghormati maruah orang lain.
Oleh hal demikian, dia menegaskan agar tidak mudah menerima dan membenarkan seorang itu menghina kerana ia dapat mematikan semangat untuk terus berjaya.
“Jangan normalisasikan penghinaan dalam budaya komunikasi kita! Tidak kira lah berkomunikasi dalam persekitaran bekerja mahupun menuntut ilmu.
“Di alam pekerjaan, jika pernah dihina, bermakna kita ini ‘level-level’ hamba di mata penghina dan mudahya maruah kita diperkotak katikkan.
“Ada sisi #modernslavery di situ ketika menuntut ilmu pula, kalau pernah dihina, tolong jangan terima atau membenarkan penghinaan tersebut mematikan semangat untuk terus berjaya,” coretnya di Instagram.
Mengulas lanjut, dia menyeru agar kata-kata hinaan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dan menjadi seorang yang luar biasa.
“Jadikan ia satu semangat untuk menjadi manusia yang luar biasa dan berjanji tidak akan menjadi
penghina ‘baru’ yang terus menormalisasikan budaya menghina ini dalam segala aspek kehidupan kita.
“Mengkritik dengan berasas perkara biasa. Menghina ini seperti personal attack pula dan mencerminkan hati penghina.
“Bukan masalah cepat koyak atau terlalu sensitif. Semua orang (semestinya!) ada perkara yang tak suka untuk disentuh dan ada tahap sensitiviti masing-masing,” katanya lagi.
Tambah penyanyi lagu Hilang itu, dia menitipkan harapan agar semua pihak termasuk dirinya berusaha menjadi insan yang beradab dan jauhi sikap biadap.
“Bukan kah menjaga keharmonian sesama manusia itu mulia?
“Solusinya disini, jom kita usaha menjadi manusia yang beradab dan menjauhi sikap biadap,” ujarnya panjang.