KUALA LUMPUR: Beralih tumpuan mendalami bidang keagamaan dan kerohanian, pengacara dan bekas penyampai radio Era dan Hot FM, Faizal Ismail, 46, menganggap dirinya kini lebih tenang dan menghargai setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT meski mungkin tidak dilihat kaya seperti dahulu.
Menurut Faizal, pandangan dan pemahaman kaya itu sendiri kini sudah berubah dan membawa pengertian yang berbeza pada dirinya sejak meletakkan agama sebagai keutamaan dalam setiap apa yang dilakukan.
“Terus-terang, saya sekarang hanya menjana pendapatan melalui undangan forum di surau dan masjid. Ia sebuah fasa yang berbeza, tak macam dulu yang menyaksikan saya terarah pada bidang hiburan sebagaimana yang orang tahu.
“Tapi, saya tetap bersyukur dan tak lagi ‘meminta-minta’ peluang ‘job’ macam dulu. Demi kekalkan istiqamah dengan Allah SWT saya fokus undangan sebagai moderator forum dan tetamu jemputan. Dulu, gaji puluhan ribu pun rasa tak cukup-cukup.
“Malah, nak pakai kereta apa, saya dapat saja.Memang daripada segi wang tunai tak banyak macam dulu, tapi rezeki saya sekarang tak putus. Sedikit tapi berterusan. Daripada situ, saya dah tak meminta-minta,”katanya.
Faizal berkata demikian semasa ditemui pada sidang media Umrah Syabibah Travel dan Tours bersama selebriti tanah air di sebuah restoran di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Selain itu, Faizal mengaku, sebelum ini, dirinya terlalu mengejar kemewahan di dunia dan kerana mahu memenuhi tuntutan kerjaya, dia sering tercicir dalam menjaga hubungannya dengan Maha Pencipta.
Sukar tidur
Katanya, dia juga pernah bertemu dengan pengamal perubatan alternatif tradisional sebelum ini gara-gara sering tidak berasa tenteram dan sukar tidur sehingga berbulan-bulan lamanya.
“Bayangkan keperluan hidup saya seisi keluarga secara bulanan cecah belasan ribu. Sebulan saya kena jana pendapatan sekurang-kurang RM12,000 hingga ke RM14,000.
“Saya pernah memiliki sampai dua, tiga buah rumah. Tapi bila nak tidur tak boleh pejamkan mata, doktor juga sahkan tiada masalah dalam darah atau jantung.
“Ustaz-ustaz yang merawat berkata ada sesuatu yang mengganggu, saya pun tak nak ulas lebih mengenai hal itu. Simpan sendiri saja,”katanya.
Dalam pada itu, kata Faizal lagi, dia juga bersyukur perubahan baiknya dalam mencari ilmu agama turut mendapat sokongan dan disambut mesra oleh isteri dan anak-anaknya walaupun pada awalnya menimbulkan kehairanan.
“Awalnya dulu, isteri ada juga mempersoalkan perubahan pada diri saya. Hari-hari menghadap saya tanya itu ini. Tapi lepas dia perhatikan perubahan saya, keluar bersama jemaah tabligh,dia sejuk hati dan anggap ia adalah perubahan positif.
“Paling bernilai, isteri dan anak-anak turut mengikut jejak langkah saya mendalami agama. Ustaz pernah beritahu bukan mudah untuk saya terbang dengan dua sayap.
“Alhamdulillah, isteri saya semakin menerima dan dia juga sedang mengikuti jemaah tabligh wanita. Anak-anak saya pula sekarang hari-hari pergi ke surau selain mereka dah boleh hafal surah-surah al-Quran,” katanya.