KUALA LUMPUR : Digugurkan jawatan masing-masing sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Perunding Kreatif di Kementerian Luar, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Datuk Seri Eizlan Yusof sehingga kini masih bingung dengan keputusan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang disifatkan sebagai satu tindakan mengejut.
Menurut Idham, sejak menerima surat penamatan jawatan tersebut pada 28 Februari lalu, kedua-duanya ditinggalkan dalam keadaan tertanya-tanya memandangkan Saifuddin tidak menjelaskan punca tindakannya itu.
“Ramai yang mahu penjelasan daripada kami berhubung isu penamatan jawatan tersebut termasuk pihak media. Tetapi, bagaimana kami mahu jelaskan sedangkan sama ada saya mahupun Eizlan juga tidak dinyatakan punca penamatan daripada beliau?
“Pada awalnya kami memang tak nak buat sebarang kenyataan, mahu berdiam sebagai tanda menghormati keputusan tersebut. Namun, bila didesak ramai, kami rasa wajarlah untuk kami tampil memberi penjelasan ini bagi mengelak sebarang spekulasi lain timbul.
“Bagaimanapun, tetap, kami tidak mempunyai jawatan kenapa ditamatkan. Kami pun terkejut dengan keputusan ini dan berharap ada penjelasan daripada beliau dan kementerian,”katanya.
Idham berkata demikian dalam satu sidang media secara virtual yang diadakan pada hari ini.
Selain itu, ditanya sama ada keadaan yang berlaku kemungkinan menyaksikan campur tangan daripada mana-mana pihak ketiga, Idham tidak menolak kebarangkalian tersebut.
“Saya tahu dan boleh nampak ada permainan politik. Tapi bukanlah nak tuding jari pada sesiapa.Saya tahu ada tohmahan yang mengatakan kami berdua nak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang di bawah tiket Bersatu.
“Bagi saya, itu sangat tidak kena dengan isu asas yang berlaku. Secara faktanya, Saifuddin sendiri tahu apa pendirian kami dalam politik. Jadi kelakar jugalah bila timbul dakwaan begini. Kalau betul saya nak sertai politik, perkara pertama yang akan saya lakukan adalah bertemu dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tapi itu tidak berlaku. Apa yang kami bimbangkan kemungkinan ada yang cuba melaga-lagakan kami dengan beliau selain menggunakan kami untuk menjatuhkan imej beliau di mata umum. Permainan politik, ia tidak mustahil,”katanya.
Dalam pada itu, Idham juga mengaku berasa hairan dengan isu ini apalagi sebelum menerima surat penamatan jawatan, dia sempat menyertai satu mesyuarat bersama Saifuddin untuk berbincang mengenai pelan program amal ke Afghanistan.
“Saya sedikit sedih kerana surat tersebut diterima semasa saya dan keluarga sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah akibat wabak Covid-19. Beliau juga tahu keadaan itu.
“Saya memang tak tahu surat itu akan diberikan kepada saya dan Eizlan kerana sebelum kuarantin, saya masih bermesyuarat dengan beliau untuk program amal tersebut.
“Saya ditugaskan untuk menyelaras program itu. Lagi satu, ini bukan soal tak terima kenyataan diberhentikan. Saya dan Eizlan sangat profesional dan menghormati keputusan beliau. Cuma, kami berdua nak tahu apa sebabnya,”katanya.
Pada 1 November tahun lalu, Idham dan Eizlan dilantik untuk menyertai Wisma Putra selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia bawah Kerangka Luar Malaysia.
Bagaimanapun menerusi laporan media pada Khamis, Idham dan Eizlan sudah digugurkan daripada jawatan masing-masing di Kementerian Luar.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan kontrak Ahmad Idham sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Eizlan selaku Perunding Kreatif telah ditamatkan.
Sumber yang rapat dengan kementerian itu berkata kedua-dua selebriti tersebut dipercayai akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bawah tiket Bersatu.
Mereka mempunyai aspirasi politik yang tinggi dan berharap mendapat sokongan daripada menteri berkenaan, yang juga pengerusi Perikatan Nasional Pahang.