Legenda sepanjang zaman. Itu ungkapan yang dapat saya gambarkan tentang figura yang saya tampilkan dalam ruangan ini, kali ini.
Jangan sesekali kita tidakkan jasa dan pengorbanan anak seni ini. Ia terlalu besar.
Datuk Sheikh Abdullah Ahmad Bahweres atau lebih terkenal sebagai Datuk Shake ialah insan yang cukup istimewa.
Lagu-lagu dendangan beliau, dari dahulu sampai sekarang kekal menjadi siulan segenap generasi. Malar segar.
Kehadiran beliau dalam industri berimpak tinggi. Karya seni seorang Datuk Shake berkualiti. Beliau dianugerahkan bakat tersendiri.
Datuk Shake setakat ini telah mengeluarkan 10 album termasuk Kau Bungaku pada 1983, Bicara Tentang Cinta (1984), Cinta Dan Hidup (1984) dan Chameleon (2012).
Namanya melonjak dengan beberapa lagu ‘berhantu’ seperti Umi, Anugerah Dari Kegagalan, Pulanglah, Lina dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, Datuk Shake juga membuktikan dia mampu membawa lagu berbahasa Perancis antaranya Tu Sais je t’aime dan Avec elle.
Semestinya, figura ini masih dirindui. Meskipun sudah terlalu lama menetap di bumi Perancis, hatinya tidak jauh meninggalkan tanah kelahiran sendiri.
Peminat masih berharap beliau pulang. Sekurang-kurangnya, sekali-sekalapun tidak mengapa. Keinginan melihat Sheikh Abdullah menghiburkan di depan mata, menebal.
Bercerita tentang kehidupan dalam era pandemik, beliau mengakui turut terkesan. Katanya, gaya hidup sekarang telah berubah. Hanya yang mampu menyesuaikan dan melindungi diri.
“Saya ada cucu, anak-anak dan kenalan di sini. Banyak benda yang perlu dibuat. Tetapi, pasal pandemik ini, kami tak boleh keluar sangat. Duduk di rumah. Nampak gaya, kena ikut peraturan.
“Industri di sini (Perancis) sama seperti satu dunia. Sedikit tergendala. Orang tak berani keluar. Tak selesa. Kena pakai pelitup separuh muka lagi. Tengok konsert kalau boleh kita nak nyanyi, terjerit-jerit.
“Bila sudah ada vaksin, kita jadi lebih yakin. Pada pendapat saya, vaksin menyelamatkan nyawa. Ramai yang ambil (vaksin), semua okey apa. Cuma, sejak 2019 hingga sekarang, banyak yang tiada pekerjaan,” ceritanya.
Tentu sekali ramai tertanya-tanya. Bagaimana Datuk Shake menyesuaikan diri di kala pandemik ini. Dan bagaimana pula kerjaya seorang anak seni sepertinya yang merantau jauh membina kehidupan di bumi asing.
“Dari dahulu sampai sekarang okey. Tetapi, disebabkan pandemik, sedikit mengecewakan kita semua.
“Saya ada berhajat nak buat konsert di Malaysia. Sudah rancang sejak 2019. Tetapi, pasal pandemik ini, tak jadi. Tergendala,” ceritanya lagi.
Pada usia awal 20-an, Datuk Shake sudah mengumpul keberanian, terbang keluar negara untuk membina nama. Ternyata percaturan itu membuahkan hasil. Namanya mengharum di bumi Perancis.
“Ini cerita lama. Kalau pertama kali itu, balik semula ke tahun 1973. Masa itu, saya berumur 22, nak masuk 23 tahun. Dahulu, anak-anak Johor, kebanyakannya suka merantau. Berani. Tujuan kita untuk berjaya. Tak mahu duduk dekat Malaysia sahaja.
“Bila tiba giliran saya, saya katakan okey, masa sudah tiba. Saya pergi. Setelah itu, semua ditakdirkan. Saya bawa kebolehan, iaitu menyanyi di kelab malam,” katanya.
Diterima baik peminat muzik di Perancis, Datuk Shake meluahkan rasa syukur. Katanya, bukan mudah membina nama di sana. Apatah lagi dalam kalangan masyarakat yang tidak terlalu mengamalkan dasar terbuka tentang muzik dan hiburan.
“Walau bukan bahasa saya, kena nyanyi juga. Dalam bahasa Perancis. Pada awal datang ke sini, saya antara orang asing yang dapat menghiburkan masyarakat di sana.
“Mereka sangat teliti. Tidak suka orang asing nyanyi bahasa mereka. Tetapi mereka terima saya. Jadi saya berterima kasih kepada orang Perancis.
“Di sini saya bertemu isteri saya. Membesarkan anak-anak. Di sini juga nama saya dikenali. Jadi, saya tidak lupakan. Tetapi dari sudut hati, saya Melayu,” tegasnya.
Ikuti perkembangan
Meskipun berada jauh di bumi Eropah, bapa kepada lima cahaya mata ini mengakui tetap mengikuti perkembangan semasa tanah air.
Kata beliau, media sosial memudahkan dirinya untuk mengetahui tentang berita dan perkembangan terkini di Malaysia.
“Sekarang ada Facebook, Instagram macam-macam lagi. Senang untuk akses. Tetapi, masa tidak cukup. Banyak benda lain nak buat. Sesekali saya tengok, apa yang berlaku. Kadang-kadang, kawan-kawan yang hantar. Jadi saya tahu apa berlaku.
“Pasal banjir pun saya tahu. Dekat sini ada diceritakan. CNN ada cerita. Malaysia pun dalam peta juga,” selorohnya.
Apabila diminta memberi pandangan tentang perkembangan industri seni, Datuk Shake memberikan perspektif beliau yang tersendiri. Baginya, teknologi pada masa kini telah memudahkan penyanyi-penyanyi di zaman ini untuk berkarya dan menempa nama.
“Banyak perubahan. Mesti ada. Tidak boleh kata tak ada. Teknologi, dahulu analog sekarang digital. Ada perkakas, kemudahan dan akses. Terlalu banyak.
“Masa saya dahulu, kami banyak menghasilkan. Menyanyi pada masa dahulu, boleh diperbaiki sedikit-sedikit sahaja. Sekarang, boleh semua.
“Orang sekarang ingat dia hebat menyanyi. Kalau nak tahu bagus atau tidak, jangan guna mikrofon yang ada sekarang. Bahaya. Banyak benda-benda dalaman, yang membuatkan kita fikir suara kita sedap. Sebenarnya tidak, pada pendapat saya,” katanya.
Tambah Datuk Shake, generasi pada zaman ini bertuah kerana adanya pelbagai kemudahan untuk mereka mempelajari dan menceburi bidang muzik serta menjadi seorang penyanyi.
Katanya lagi, anak muda zaman sekarang juga bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang terbuka dan mendokong minat mereka untuk berkecimpung di dalam bidang muzik.
“Budak-budak sekarang pergi sekolah muzik. Mak bapa dia orang belikan bermacam-macam perkakas. Masa saya dahulu, tiada.
“Satu sahaja beza dahulu dan sekarang. Orang dulu letak sepenuh hati. Orang sekarang, manja. Pengalaman penyanyi dahulu lain. Budak-budak sekarang lain,” ujarnya.
Saya kagum dengan seorang Datuk Shake. Kerana apa? Pada usia separuh abad, figura ini kelihatan masih bertenaga, sihat dan bersemangat untuk terus berkarya.
Saya tertanya-tertanya apakah rahsia di sebalik kudrat yang dimiliki seorang penghibur hebat sepertinya.
“Pada usia menginjak ke 70 tahun, saya masih mengikuti latihan vokal. Itu ‘memudakan’ kita.
“Vokal perlu dilatih. Ia memerlukan tenaga. Tenaga perlu kecergasan. Nak kena jaga makan. Jaga badan.
“Tiada rahsia. Macam bermain tenis, perlu jurulatih. Jurulatih nampak apa yang tiada. Yang salah, dibetulkan. Buat salah tidak mengapa. Itu akan membaiki kita. Anugerah daripada kegagalan,” jelasnya.
Dalam rancak bercerita, Datuk Shake ada menyuarakan rasa terkilan dan sedih berhubung layanan pihak-pihak tertentu di Malaysia yang seakan memandang rendah cita-citanya untuk membuat persembahan di tanah kelahiran sendiri.
“Saya ada niat untuk buat konsert-konsert besar buat peminat-peminat di Malaysia. Tetapi penaja menyifatkan saya mahal, itu ini tak boleh. Tetapi, kalau bangsa asing, boleh pula. Untuk saya, tak boleh.
“Saya nak kualiti. Biar bagus. Tetapi pada mereka, mahal. Sebab itu saya tak nak buat. Sedih.
“Bukan saya tak boleh buat. Saya boleh. Saya masih ada suara. Jiwa masih muda. Boleh nyanyi,” luahnya.