PETALING JAYA : Usahawan dan personaliti media sosial sensasi, Liana Rosli, tidak mengambil pusing dengan segala komen negatif warganet terhadap dirinya, berhubung video-video yang pernah tular sebelum ini, menerusi media sosial.
Bagaimanapun Liana yang lebih disapa Kak KM mendedahkan ibunya yang juga pelakon senior, Normah Damanhuri turut sama terpalit apabila nama usahawan itu mula menjadi buah mulut warganet.
Dia juga memberitahu Normah sentiasa menitipkan nasihat dan mengingatinya agar berhati-hati dalam setiap perkara yang ingin dikongsikan di media sosial.
“Segala komen saya tidak suka membaca, tetapi mama yang suka sampaikan dan dia sendiri yang rasa down.
“Mama tidak pernah menangis tetapi murung. Bukan mama tidak peduli, tetapi saya yang minta supaya tidak perlu peduli. ‘mama duduk diam-diam, saya tahu kerja saya.
“Selain itu, mama memang menegur saya setiap hari, tetapi saya yang sendiri degil,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Tiga Janda Melawan Dunia.
Mengulas lanjut, dia lebih gemar menjaga hal sendiri berbanding mengambil tahu hal orang lain.
“Kita pun tidak pernah mengganggu hal orang lain. seteruk mana pun, saya yang hadap seorang diri. orang berkata mengenai itu biasalah.
“Alhamdulillah, bagi saya apa yang tular itu bukan mendatangkan dosa. Kita dengan cara kita, sebabnya itu produk perniagaan saya.
“Rezeki semakin bertambah itu mungkin kita tidak pernah mengambil tahu hal orang lain malah orang yang mengecam saya pun, saya masih berbaik dengan mereka. itulah rezeki datang semula,” tuturnya lagi.
Dalam pada itu, Kak KM sentiasa bersedia jika dirinya diambil tindakan dan disiasat berhubung video-video sensasi yang dimuat naiknya, selepas ada segelintir pihak yang kurang senang dengannya.
“Jika diambil tindakan atau disiasat, saya bersedia sahaja kerana tidak membuat salah pun.
“Saya boleh sahaja menghadapi sesiapa sahaja yang nak datang kepada saya. Tiada masalah,” ujarnya.