MENERIMA pelbagai kecaman dan kritikan kononnya pemilik bersuara emas ini tidak boleh menyanyi lagi, dia hanya tersenyum sendiri.
Semuanya gara-gara dia menghulurkan mikrofon kepada peminat ketika membuat persembahan dalam sebuah acara baru-baru ini.
Tidak menolak ada yang cuba menabur pasir dalam periuk nasinya, Amy Search bagaimanapun enggan mengambil pusing. Namun adakah dia terasa hati dengan kritikan tersebut?
HITS cuba mengorek dalam isi hati penyanyi lagu malar segar, Fantasia Bulan Madu ini.
HITS: 41 tahun dalam industri seni, masih ada yang mempertikaikan kredebiliti dan kemampuan abang? Seolah-olah mereka mahu abang membuktikan bakat pula. Komen abang?
AMY: Saya tidak perlu membuktikan apa-apa. Tidak ada hutang dengan mereka yang mengecam. Saya bukan budak-budak tau. Sudah 47 tahun dalam industri. Saya menyanyi dengan sisa kudrat yang Allah beri,
Saya faham, hidup sebagai manusia, ada yang suka dan ada yang tidak suka.
Abang terasa hati? Yalah, sudah hampir lima dekad ada juga yang mempertikaikan kemampuan abang.
Langsung tidak. Kita hanya manusia, tiada sifat kekal. Usia saya pun sudah 64 tahun. Bukan 46 tahun. Mana-mana penyanyi pun akan melalui situasi sama. Malah, pemain bola pun akan ‘pancit’ bila sudah berusia.
Lagipun, bukan semalam saya baru menghulur mikrofon. Sejak era 80-an lagi, memang kalau membuat persembahan saya akan hulur mikrofon untuk peminat nyanyi bersama.
Tapi itulah yang saya pelik, kenapa sekarang abang?
Macam saya cakap, hidup ini bermacam-macam. Kita tak boleh paksa orang suka. Mungkin ada yang sengaja cetuskan provokasi begini.
Biarlah, rezeki itu Tuhan yang beri. Tak apa. Saya bersyukur sehingga sekarang orang masih menghormati dan tahu lagu-lagu saya. Kita layan sahaja.
Tapi bila ada juga penyanyi senior yang memberi komen contohnya seperti jangan menghulur mikrofon terlalu lama, apa pendapat abang?
Tidak mengapa, lain orang lain cara. Saya menyanyi dan menghiburkan orang sudah sekian lama. Di usia ini janganlah harap vokal dan suara sama seperti zaman muda remaja.
Semestinya stamina tidak seperti dulu. Buatlah macam mana, pasti ada bezanya.
Ramadan bakal menjelma tak lama lagi. Boleh abang kongsi aktiviti atau perkembangan dunia seni?
Macam biasa, selalunya bulan Ramadan memang saya akan fokus kepada berniagalah. Kita mencari rezeki kan.
Saya bakal membuka booth di dua lokasi menjual pakaian dan produk-produk di bawah jenama Amy Search. Malah, sekitar hujung bulan April juga saya akan mengadakan konsert di Singapura.