Apa yang mereka buat itu sangat tidak baik -Arena Wan - Utusan Malaysia

Apa yang mereka buat itu sangat tidak baik -Arena Wan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain pelakon Zarina Zainuddin yang memiliki sepasang anak kembar autisme, pelakon muda, Arena Wan Mun Yi juga sudah biasa hidup dengan kehadiran anggota keluarga yang memiliki penyakit tersebut.

Dikenali ramai dengan gelaran Keluarga Adam, pelakon drama Hati Yang Dikhianati ini merupakan kakak kepada Adam, remaja autisme yang dikenali di media sosial gara-gara kerajinan ibu dan bapanya yang terbuka berkongsi kisah kehidupan menjaga anak istimewa itu.

Pun begitu, siapa sangka, bukan itu sahaja ujian yang perlu dilalui Arena dan keluarga. Sikap dan kelakuan jelik jiran-jiran di kawasan perumahan khabarnya telah menyebabkan pelakon ini sekeluarga sehingga terpaksa berpindah rumah baru-baru ini.

Kononnya, ada individu yang telah menghasut tuan rumah keluarga Arena gara-gara tidak tahan dengan ‘kerenah’ Adam si adik autisme lalu menyebabkan pelakon ini sekeluarga terpaksa akur untuk pindah ke rumah lain.

Sebegitu ‘menyusahkan’ sangatkah Arena dan keluarga ini sehingga mereka menerima layanan seperti itu daripada kejiranan tersebut? Berpeluang bercakap dengan pelakon ini, Arena meluahkan rasa di hati.

 

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai keluarga Arena yang didakwa terpaksa keluar dari rumah sewa kerana  jiran yang mengadu mengenai kerenah adik, Adam. Boleh Arena kongsikan?

Ini pertama kali wartawan bertanya hal ini kepada saya kerana biasanya ramai akan tanya pada ibu dan ayah. Bagi saya, semua orang ada pandangan sendiri, cuma dari sudut saya, tentulah saya rasa apa yang jiran-jiran kami buat itu sangat tidak baik. Saya dapat tahu kena pindah dan cerita di sebalik itu pun agak lambat. Mungkin kerana ibu dan ayah tak nak ganggu konsentrasi kerja penggambaran saya. Tapi lepas dapat tahu, terkejut juga sebab rupanya dari awal kami duduk di kawasan kejiranan itu, sejak setahun lalu, mereka tak suka.

 

Apa yang terjadi?

Apa yang tular itu betul. Memang tuan rumah kami  menamatkan kontrak rumah walaupun pada asalnya, dia sangat suka kami terus menyewa di situ. Tapi rupa-rupanya selama ini, kalangan jiran ada yang mengadu itu dan ini tentang kami kepada dia, kebanyakannya merungut tentang adik saya, Adam ada autisme yang agak teruk. Tuan rumah mungkin ditekan oleh mereka, jadi tak ada pilihan kecuali menamatkan kontrak sewaan kami.

Arena sebagai kakak dan ahli keluarga, tak berang dengan keadaan ini?

Kita tak boleh nak salahkan orang juga. Hidup berjiran, kita sendiri pun sudah tentulah nak hidup dalam kawasan kejiranan yang tenang, aman dan ada privasi.Kalau dengar bunyi bising, mestilah rasa tak tenang. Tapi, adik saya ini bukanlah bising hari-hari. Tapi saya faham, mereka tak selesa. Iyalah, lama-lama rasa terganggu. Cuma, apa yang saya bengang cara mereka kendalikan hal ini. Kenapa tak jumpa saja depan-depan? Kenapa kena buat cara sejahat itu? Hasut tuan rumah di belakang kami semata-mata nak pastikan kami semua tak duduk lagi di situ. Itu sangat tidak baik.

Adakah kemungkinan, keluarga Arena sebenarnya sudah dapat jangkakan perkara seperti ini akan berlaku (jiran mengadu)?

Tak tahu nak cakap. Ini merupakan rumah kedua kami pindah. Sebelum ini, kami tinggal di rumah jenis apartmen. Lagilah, kiri kanan, atas bawah boleh dengar Adam punya kerenah. Kami akhirnya pindah dari rumah itu atas pelbagai sebab. Tak jauh dari kejiranan lama juga kami pindah. Cuma kali ini tak sangka pula sampai ada yang mengadu dan desak tuan rumah sebegitu rupa. Tak apalah, mungkin ini petanda dari Tuhan agar kami tak duduk sekali dengan jiran yang macam itu.

Ada juga baca komen dan orang hentam keluarga Arena. Apa pendapat awak?

Tak apa, saya faham mereka nak cakap apa pun, kita tak boleh halang. Ada yang komen pertikai kenapa kami tak duduk jauh dari orang? Macam inilah, kalau kami ini ada duit, sudah lama pindah rumah banglo sebiji, yang tak ada jiran kiri kanan. Tak perlu orang cakap, kami pun tak nak menyusahkan orang. Sebenarnya, walaupun sudah banyak kesedaran tentang autisme ini diperkatakan, tapi masih ramai yang tak faham. Mereka fikir senang nak urus dan kendalikan anak istimewa macam Adam.  Anda tak duduk di tempat kami, anda tak akan faham.

Dalam keadaan sekarang, difahamkan, Arena pun sedang menjalani penggambaran. Jadi macam mana nak kendalikan urusan pindah dan sebagainya?

Itulah, mana nak urus jadual kerja penggambaran, mana nak urus hal pindah. Saya sangat kasihankan ibu dan ayah. Rasa bersalah juga tak dapat bantu berkemas sangat. Dulu, masa berpindah, kawan-kawan keluarga datang hulurkan tangan. Tapi sekarang, zaman Covid ini, susah orang nak datang tolong. Tak salahkan mereka. Cuma, kami usahakan juga sebaik mungkin. 

Arena sendiri rasa tertekan tak dengan situasi ini yang bukan kali pertama dilalui. Sebagai kakak sulung dalam keluarga, tentu ada yang terbuku di hati?

Terus terang, dari aspek kesihatan mental, saya memang tak okey. Saya tak nak cakap banyak mengenai hal ini sebelum ini sebab orang kata, alah…jangan tunjuk sangat kelemahan depan orang. Tapi orang tak tahu apa yang kita alami. Saya memang ada anxiety dan sepatutnya meneruskan rawatan berkala dengan doktor tapi tak dapat pergi sebab sibuk dengan kerja. Banyak faktor. Tekanan sebagai seorang kakak sulung, kerja, netizen, hal keluarga, semuanyalah. Kalau orang tanya, tak tahu nak cakap macam mana. Sebab, sebahagian daripada diri tertanya juga,  patutkah saya kongsikan perasaan ini pada orang? Ramai saja artis yang terbuka kongsikan kesihatan mental mereka. Tak apalah, mungkin bukan sekarang waktunya untuk saya cerita. Saya anggap saja ini semua ujian daripada Tuhan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya