Zulin ajar suami jangan baca komen negatif - Utusan Malaysia

Zulin ajar suami jangan baca komen negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRI KEMBANGAN : Pengacara dan pelakon, Zulin Aziz mendedahkan bahawa dia telah menasihati suaminya, Farhan Norzaini supaya tidak larut dengan komen-komen negatif netizen yang ditinggalkan di media sosial sementelah kini sudah bergelar suami kepada seorang selebriti.

Menurut Zulin, apa yang dirinya pratikkan selama ini adalah memadam komen yang dirasakan tidak sesuai supaya isu dibangkitkan oleh pengguna media sosial terhadap sesebuah hantarannya tidak berpanjangan.

“Saya dah ajar suami dari awal, jangan pernah baca komen netizen. Saya pula jenis suka padam komen-komen negatif. Mungkin ramai yang tanya, kenapa nak padam? Bagi saya, kita ada kuasa kawal media sosial kita.

“Kenapa kita nak biarkan dia berbuat demikian dan menjaga hati orang yang komen buruk kepada kita? Sepatutnya, kita ada hak ke atas platform kita sendiri dan buang benda-benda yang tidak elok,” ujarnya.

Zulin berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pengumuman pakej umrah bersama barisan selebriti oleh Syabibah Travel & Tours di ibu kota baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zulin menambah, dengan memadam komen negatif yang ditinggalkan oleh netizen, ia dapat membendung komen-komen lain daripada terus merebak.

“Kalau seorang berani tinggalkan komen berbaur negatif, akan ada rantaian lain yang akan komen di bawah komen berkenaan. Jadi kita putuskan rantaian itu untuk elak daripada isu tersebut diperbesarkan.

“Tak perlulah balas balik. Orang seperti ini hanya mahukan perhatian. Kalau kita komen lagi mereka suka. Kalau betul nak beri nasihat, ada laluan lain yang lebih elok boleh digunakan,”katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pengalaman bergelar isteri tidak sampai seminggu, Zulin berkata, dia berasa agak kekok memandangkan dia kini tinggal bersama suaminya.

“Sebelum ini kami kan bersama sebagai rakan kongsi. Dulu masa belum berkahwin, kami akan balik ke rumah masing-masing. Tetapi sekarang balik sekali!

“Kami ini biasa-biasa sahaja. Takdalah sweet sangat, sebab kami masing-masing tak tahu nak tunjukkan sweet tu. Tetapi suami saya romantiklah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zulin buat pertama kalinya bakal mengerjakan umrah pada bulan puasa bersama suaminya menerusi pakej umrah yang diperkenalkan oleh Syabibah Travel & Tours.

“Ketika saya menerima panggilan yang menawarkan saya untuk turut serta dalam program ini, saya memang berada di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah pertama Januari lalu.

“Ketika itu, memang saya berdoa ingin kembali menjadi tetamu Allah. Memang betul doa saya dimakbulkan dengan pantas. Jadi, dengan hati terbuka, saya terus bersetuju,” katanya.

Selain Zulin dan suami, pakej umrah tersebut turut melibatkan barisan artis lain seperti pelakon Saharul Ridzwan, Bell Ngasri dan Faizal Ismail.

Bagi yang berminat untuk menyertai program umrah ini boleh mengunjungi pejabat agensi di No. 12-1, Jalan Wira 1, Pusat Perniagaan Wira, 71800 Nilai, Negeri Sembilan atau hubungi talian 018-289 7953.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya