KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti media sosial, Sharifah Sakinah, 32, mengaku dia sudah pun bergelar isteri kepada seorang lelaki warganegara Sweden, Michael Hansen,42.
Namun begitu, kata Sakinah, perkahwinannya dengan lelaki tersebut tidak dapat diuar-uarkan kerana terpalit dengan beberapa isu sensitif meliputi isu peribadi dan agama.
“Terima kasih kepada pasangan yang juga suami saya, Ya, kami sudah berkahwin, memandangkan ramai yang tanya.
“Jadi buat mereka yang tertanya-tanya kenapa kami tak hebahkan mengenai perkahwinan ini, ia kerana ada beberapa isu peribadi selain membabitkan isu agama,
“Kami tak nak gembar-gemburkannya. Tetapi sekarang ya, kini sudah rasmi. Tak payah tanya lagi okay? Terima kasih dan sayang semua,”katanya.
Sakinah berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik semalam di Instagram.
Pada 5 Mac 2021, sebuah portal hiburan telah melaporkan sudah mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya itu yang dikenali sejak tiga tahun lalu.
Malah, menerusi kenyataanntya, Sakinah juga mendedahkan dia akan mendirikan rumah tangga dengan Michael pada bulan Mei tahun lepas kerana dalam masa yang sama mahu meraikan bulan kelahiran Michael.
Untuk rekod, sebelum ini Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang juruterbang bernama Aliff Adha pada tahun 2015.
Bagaimanapun rumah tangga tersebut gagal diselamatkan selepas dilaporkan dilanda badai yang kemudiannya turut menyaksikan kedua-duanya membuat keputusan untuk bercerai.
Hasil perkahwinan tersebut, Sakinah dan Aliff dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Anais Adha yang kini berusia lima tahun. – UTUSAN