KUALA LUMPUR : Naib Juara Mentor Milenia 2017 dan Big Stage 2020, Usop atau nama sebenarnya Muhamad Saiful Naim Mohd Noor,24, selamat bernikah dengan wanita pilihan, Nur Fatihah Md Hashim,25, yang berasal dari Sungai Dua,Pulau Pinang, hari ini.
Majlis akad nikah itu diadakan secara tertutup di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Penaga, Pulau Pinang dan disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Ustaz Harun Idris berwalikan bapanya,Md Hashim Nordin.
Majlis menyaksikan hantaran sembilan dulang daripada pihak perempuan dan berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki, manakala mas kahwin sebanyak RM3,000 serta seutas gelang tangan dihadiahkan buat pengantin perempuan.
Menurut Usop, dia bersyukur urusan pernikahannya dipermudahkan selain berharap agar peminat serta mereka yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagian dirinya dan Nur Fatihah sehingga ke anak cucu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Walaupun usia saya boleh dikatakan masih muda, tapi saya harap dapat membimbing dan memegang tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.
“Saya ingin menjadi suami yg terbaik buat Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan. Soal zuriat saya dan isteri tidak terburu-buru sebaliknya saya serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa yang tepat akan tiba.
“Tapi buat masa ini fokus kami berdua adalah untuk membina kehidupan sebagai suami isteri terlebih dahulu. Saya ingin melihat Fatihah bahagia bersama saya,” katanya.
Majlis bagi pihak perempuan akan berlangsung pada malam ini dan majlis resepsi bagi pihak lelaki akan diadakan pada 13 Feb 2022 di Kulim Kedah.
Berkongsi kisah percintaan mereka, perkenalan Usop dan Teha sejak 2 tahun yang lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada tanggal 4 November lalu.
Untuk info, Nur Fatihah berkhidmat sebagai seorang kakitangan bahagian pentadbiran di sebuah syarikat Pulau Pinang dan membuat kerja sampingan iaitu berniaga barangan kosmetik.