KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi, Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie tidak terburu-buru untuk mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat.
Walau bagaimanapun Juara program realiti, Big Stage dan isterinya, tidak menolak takdir jika dikurniakan zuriat pada bila-bila masa meski tahu itu merupakan satu tanggungjawab yang besar.
“Cakap fasal kesediaan ini sejujurnya kami sendiri tidak merancang. Malah, ikut saja keadaan dan rezeki.
“Sebab nak jadi ibu bapa ini tanggungjawabnya besar dan persediaan pun kena cukup, contohnya dari segi ekonomi,” ujar Azzam kepada Utusan Malaysia.
Menyambut baik jika dikurniakan zuriat, bagi Sheryl, enggan terlalu merancang kerana bimbang diuji Tuhan seperti mana pandangan orang sekeliling yang sudah berumah tangga.
“Tak mahulah merancang sangat. Ada orang kata kalau sudah merancang nanti ternanti-nanti pula sebab diuji. Takutlah kan…,” luah Sheryl.
Terdahulu, Azzam, 25, dan Sheryl, 25, selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz di Masjid Nurul Ehsan, pada 1 Januari lalu. Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada penghujung September lalu.
Sebagai informasi, Azzam dan Sheryl saling mengenali sejak 2015, namun, mula akrab sejak dua tahun lalu.