KUALA LUMPUR : Penyanyi yang popular dengan lagu Salam Untuk Kekasih, Nadia Ali, 50, meluahkan rasa syukur kerana Allah SWT masih memberi peluang untuknya hidup dan masih bernyawa.
Menurut Nadia, dia yang mengalami penyakit strok otak dan kritikal sejak enam bulan lalu tidak menyangka tahap kesihatannya semakin membaik dalam tempoh yang agak cepat.
“Masih saya ingat bagaimana ketika kejadian, saya berada dalam keadaan sihat sahaja. Masa itu sedang sibuk nak buat satu program untuk radio secara strim.
“Tiba-tiba saya tak boleh berdiri. Manakala otak dengan mulut tidak boleh berhubung. Nak cakap benda lain tapi yang keluar dimulut lain.
“Saya kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital selama beberapa hari sebelum dipindahkan ke wad biasa. Alhamdulillah pemulihan saya sekarang sudah 80 peratus,” katanya.
Kongsi Nadia yang bergelar pengusaha hotel di Sipitang, Sabah, menerusi apa yang terjadi, ia membuatkan dirinya nekad untuk tidak lagi mensia-siakan hidup selain mahu lebih mengutamakan kesihatan.
“Kali ini saya takkan mensia-siakan hidup dan nak jaga kesihatan sebaiknya. Sekarang ini, saya amat menjaga makan ubat kolesterol dan darah tinggi. Setiap bulan akan buat pemeriksaan doktor,”katanya.
Dalam pada itu, Nadia juga memaklumkan bahawa dia kini sedang dalam rangka promosi untuk single terbarunya yang berjudul Insaf.
Bercerita mengenai Insaf, kata Nadia, dia tidak berniat untuk mencari untung wang ringgit daripada hasil jualan lagu itu kerana lebih mengharapkan mesej yang diselitkan dapat diterima baik oleh pendengar dan peminat.
“Saya tak berniat mencari untung dari lagu ini kecuali mengharapkan ia diterima sebagai satu amal untuk saya menjawab di akhirat nanti dengan bakat yang ada.Dengan rendah hati, saya berharap ia diterima Allah sebagai satu amal.
“Malah, saya fikir, kalau saya meninggal dunia semasa sakit sebelum ini, orang tak cuma ingat saya menerusi lagu Salam Untuk Kekasih, etapi juga Insaf. Semoga lagu ini diterima Allah sebagai satu amalan,”katanya.
Untuk Info lagu Insaf tersebut merupakan lagu terbitan dan dihasilkan sepenuhnya oleh Julfekar.