KUALA LUMPUR : Ibu selebriti dan usahawan terkenal tanah air, Noor Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohammed, mendedahkan kini sudah mempunyai akaun TikTok sebagai satu lagi langkah untuk memajukan lagi jenama diri dan perniagaanya.
Menurut Kartini, seiring dengan perkembangan zaman, aplikasi interaksi dan hiburan itu baginya turut mempunyai kepentingan terutama bagi seorang usahawan seperti dirinya.
“Kalau dahulu, saya yang dah lama dalam bidang perniagaan ini pernah dengar ramai yang terarah pada platform media sosial Facebook untuk mempromosikan perniagaan mereka.Tapi, sampai ke hari ini, saya tak pandai sangat pun guna akaun Facebook itu.
“BIla dengar TikTok pula, saya rasa mengapa tidak cuba. Tak nak juga jadi orang yang lambat. Nak cepat-cepat cuba untuk tengok keberkesanannya dalam aspek perniagaan,”katanya.
Kartini berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran Disney X Naelofar The Little Mermaid yang diadakan di Pusat Membeli Belah One Utama, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah anak-anaknya yang lain seperti Noor Nabila, Athisha Khan dan Ameera Khan.
Selain itu, kata Kartini, dia juga tidak menyangka percubaannya menggunakan platform media tersebut ternyata mampu menarik ramai peminat dan pengikut.
“Tak pernah jangka juga ya, sampai berjuta-juta orang tengok satu video yang kita muat naik,”katanya.
Selain itu, ditanya sama ada dia perlu membuat gimik berbeza atau kelihatan tidak cerdik semata-mata untuk meraih perhatian orang, Kartini menolak hal itu.
“Lebih baik kita manfaat pada jalan yang baik, untuk berniaga misalnya. Tak perlu berjogetlah! Lagipun saya tahu, nanti akan dikecam orang pula.
“Tapi kalau cakap pasal kecam, benda begitu tak boleh lari, sekali pun kalau apa yang kita lakukan itu tidaklah melampaui batas. Terpulanglah orang nak cakap apa, yang penting nawaitu kita itu apa,”katanya.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia di TikTok, akaun Noor Kartini kini telah diikuti oleh seramai 67,4000 pengikut dengan setakat ini memiliki 82 buah video yang dimuat naik.