'Saya seperti mayat hidup ...' - Utusan Malaysia

‘Saya seperti mayat hidup …’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bahagia? Itu soalan pertama saya. Melihat senyuman yang terukir di bibir wanita besi ini, saya meneka cahaya bahagia dan gembira mula memenuhi segenap ruang hati. Elyana, satu nama yang dekat dengan kita.
Penderitaan kanser limfoma yang dijalani lebih sedekad, kini berakhir. Dia tersenyum puas. Namun persoalannya, adakah hatinya sebahagia yang dibingkaikan di wajah? Atau masih ada sisa derita itu?
Dia memberi senyuman lagi. Menarik nafas lantas menjawab;
“Sejujurnya, saya pernah terfikir mungkin kanser ini akan selamanya menemani hidup. Tidak ada ubat dan jalan keluar. Saya berjuang untuk terus hidup. Pulih? Tidak. Sudah terlalu lama, putus harapan jugalah.
“Tetapi saat doktor memaklumkan sel kanser sudah tiada, saya tergamam. Sehingga hari ini tidak percaya. Berkali-kali saya minta doktor untuk scan semula. 11 tahun, baru Allah balas doa saya.
“Bahagia? Alhamdulillah. Saya bersyukur dan gembira. Tetapi kalau hendak kata sudah bebas kanser, masih terlalu awal. Dia boleh datang bila-bila masa sahaja. Saya masih meneruskan rawatan,” katanya.
Benar, di mata orang dia seorang wanita kuat. Yang mungkin tidak ada saat terduduk, terpuruk mengenang nasib. Kehidupannya tetap dijalani segembiranya walaupun berdepan penderitaan yang bukan kepalang.
Saya bertanya, dari mana kekuatan Elyana? Kekuatan itu, mungkin mudah di lisan tetapi sukar dizahirkan. Tidak semua memiliki kekuatan itu. Derita yang dipikul beratnya menuntut seluruh kudrat dan jiwa.
Perlahan dia menjawab, anak-anak. Tidak ada lain, senyuman dua bidadari yang masih kecil itu menjadi dahan dia bergantung nyawa. Walau dalam kesakitan, segala kudrat dikumpul hanya untuk dia bangkit semula.
“Pernah satu ketika, saya dah anggap diri seperti mayat hidup. Dengan berat 35 kilogram. Dah tak rupa orang. Tetapi bila saya tengok anak-anak, terfikir sampai bila perlu melarat begini. Mereka memerlukan saya.
“Mungkin kalau saya hidup seorang, sudah lama saya putus asa. Biar pergi sahaja. Tetapi saya punya mereka. Jadi saya bersiap cantik-cantik, tunjuk pada mereka yang bonda mereka kuat.
“Saya mahu cipta memori bersama. Saya mahu mereka tahu, bonda mereka sakit pun cantik. Sakit pun kuat. Sakit pun ceria, tersenyum. Itu yang saya mahu mereka simpan dalam kotak memori mereka,” ujarnya.

‘Jiwa saya hancur’

Elyana, mungkin dia kalis rindu tetapi tidak untuk kecaman. Dia juga manusia biasa. Ada hati dan perasaan. Pernah berdepan kritikan dan kata-kata yang sakitnya membelah jiwa, Tuhan sahaja tahu bagaimana dia merawat luka di hati.
Saat saya melontarkan soalan, bagaimana dia menghadapi kata-kata manusia yang jahatnya seperti tidak berakal, dia hanya menunduk. Mencari semangat untuk melerai kisah pahit di hatinya.
“Pernah sekali, ada yang cakap; Tak lama lagi bercerai lah Elyana itu. Dia bukan boleh bagi apa-apa,” kongsi wanita berusia 35 tahun ini.
Saya terdiam. Bagaimana seorang manusia yang diberi akal oleh Tuhan tergamak menuturkan kata-kata itu? Sedangkan kita tahu, kata-kata adalah cerminan diri. Kata-kata adalah satu doa.
“Ya, yang saya hadap bukan sakit ini sahaja. Mulut orang, dahsyat. Tetapi paling menyedihkan, kata-kata itu tidak datang dari orang luar sebaliknya dituturkan oleh mereka yang dekat dengan saya sendiri.
“Suami saya tidak sempurna. Tetapi dia tetap setia. Dahulu saya terlalu mengharapkan kesempurnaan, tetapi saya sedar segalanya datang dari diri kita sendiri. Bila ada yang cakap begitu, jiwa saya hancur.
“Kalaulah ada yang melihat saya di rumah, pasti mereka tertanya-tanya bagaimana saya menghadapi semua ini. Mungkin sudah gila kot. Tetapi berpeganglah, ujian itu adalah untuk Allah angkat martabat kita,” ujarnya.

22 tahun penuh cinta 

Sengaja saya mengalihkan perbualan kami. Bercakap soal kerjaya seni pula. 22 tahun bukan usia singkat. Dia sudah makan bukan sahaja garam, tetapi segala rempah mungkin sudah dihadam.
Tidak keterlaluan jika saya mengatakan, dia pernah menjadi crush ramai peminat lelaki. Dan ketika saya mengadakan sesi fotografi ini, ada seorang wartawan yang dahulu cukup meminati wanita ini.
Dia sampai ketar lutut mahu bertemu. Malu katanya kerana satu ketika dahulu dia ‘menggilai’ penyanyi yang terkenal dengan identiti dan penampilan yang berbeza. Tapi itu cerita dulu kan?
Menganggap dunia seni adalah sekolahnya, Elyana tiada penyesalan. Setiap yang manis dan pahit ditelan kerana baginya, itu adalah satu hakikat perjalanan. Yang menjadikan dia seorang Elyana hari ini.
“Saya bermula ketika di usia 13 tahun. Tak pernah kerja lain, selain menyanyi. Apa yang saya dapat sepanjang 22 tahun? Pengalaman hidup. Saya membesar dengan setiap apa yang berlaku.
“Tahun ini, perancangan untuk single baharu ada. Saya juga kembali aktif, menerima tawaran nyanyian dan lakonan semula. Rindu sebenarnya untuk beraksi di pentas, di hadapan kamera,” katanya.
Saya ajukan, apa kenangan manis sepanjang bergelar anak seni? Penyanyi Niat ini mudah mengatakan, apabila peminat mendoakan dan menjadikan dia contoh manusia kuat yang dikagumi.
“Ada yang datang jumpa saya berterima kasih kerana menjadi kuat. Dia terinspirasi. Ada yang cakap, bila down, Instagram saya adalah peniup obor semangat. Sebab saya nampak gembira walaupun sakit.
“Pahit itu banyak juga cuma saya tak mahu fikirkan. Dulu jiwa muda saya panas, tetapi sekarang saya semakin matang. Membesar dengan segala pengalaman yang ada,” ujar pelakon drama fenomena, Dunia Baru. – PANCAINDERA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya