PETALING JAYA: Penyanyi Ariff Bahran, disahkan positif virus Covid-19, selepas membuat ujian saringan kendiri (RTK) di klinik.
Perkara tersebut dimaklumkan penyanyi lagu Kata Akhirmu itu menerusi platform Instagram miliknya.
“Waktu yang tepat ketika serangan panik melanda. Bergegas ke klinik selepas sesi pengambaran.
“Rasa lemah badan, selesema serta sakit tekak. Buat ujian saringan kendiri dua kali dan tidak puas hati.
“Pergi ke klinik untuk melakukan ujian RTK. Disahkan positif Covid-19,” katanya.
Pada masa sama, Ariff turut meluahkan rasa bimbang terhadap kesemua ahli keluarganya memandangkan mereka baru sahaja menyambut hari lahir bapanya, semalam.
“Saya risaukan isteri dan ahli keluarga kerana kami baru sahaja menyambut ulang tahun ayah hari ini (semalam).
“Doakan semuanya baik-baik sahaja. Kepada yang sedang bekerja, sila jaga prosedur operasi standard (SOP) anda,” ujarnya.
Menjengah di ruangab komen, rata-rata peminat dan rakan artis turut mendoakan agar dirinya pulih seperti sedia kala.
“Semoga cepat sembuh,” komen penyanyi Haqiem Rusli.
“Insya-Allah, cepat sembuh,” komen juga usahawan sensasi,Ahmad Iqbal Zulkefli.