KUALA LUMPUR: Pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim terkilan dan kecewa apabila mendapat tahu pembantu rumahnya melarikan diri sekitar pukul 5 pagi baru-baru ini.
Jelasnya, kejadian tersebut berlaku seminggu lalu namun berita malang itu dikongsikan di akaun Instagramnya, semalam, selepas dirinya beransur sembuh akibat mengalami muntah tahap kritikal.
“Saya tak muat naik apa-apa kandungan seminggu ini. Minggu yang sangat mencabar. Kes pembantu rumah.
“Dia seorang sahaja yang tak kena wabak muntah-muntah dekat rumah. Hari itu juga lari pakai selipar Jepun sahaja. Sketchers kita beli ditinggalkan. Sia-sia saja buang duit ambil dan jaga dia tau.
“Dikejarkan ke unit kecemasan dek mengalami muntah yang kritikal sebab terkejut dengan kejadian pembantu rumah lari pukul 5 pagi,” coretnya.
Dalam perkongsian hantaran panjang itu, katanya, selain anak-anak, suaminya turut mengalami sakit yang sama dan kini sudah pulih sepenuhnya.
Pada masa sama, Sarimah sudah menjalani ujian pemeriksaan Covid-19 dan keputusan negatif.
“Kata doktor cuma masalah penghadaman dan hanya seorang sahaja yang tidak terkena di dalam rumah ini, yang lari itulah,” ujarnya.
Sarimah turut melayangkan pertanyaan, di manakah perlindungan sebagai majikan? Hal itu, Sarimah menegaskan hal itu perlu diselaras dan dititikberatkan dalam kontrak perjanjian agensi.
Mengambil iktibar atas kejadian tidak diduga itu, kata Sarimah jangan sekali pun percaya pada orang luar.