KUALA LUMPUR : Pengacara dan selebriti media sosial, Kelly Azman, melahirkan rasa hairan mengapa sehingga kini, warga net tidak berpuas hati dengan dirinya selain sering melakukan ‘body-shaming’ dengan harapan dapat menjatuhkan kerjayanya.
Mengaku bahawa dirinya langsung tidak tersinggung dengan kata-kata nista netizen, bagi juri program All Together Now Malaysia (ATNM) ini, dia cukup sedar soal pemakaian kaca matanya yang tebal sering menjadi bahan sindiran di media sosial.
“Saya pun tak fahamlah. Apa masalah engkau orang (netizen) semua ya? Kanta sedepa atau empat depa sekali pun, yang pakai itu adalah aku. Cermin mata aku.
“Yang penting sekarang, aku pakai dan aku boleh nampak dan melihat. Aku tak buta ya!”katanya yang memulangkan paku buah keras kepada netizen yang memperlekehkan dirinya.
Ia juga bagi menjawab komen-komen netizen yang berlegar di media sosial semasa dia dijemput untuk menjadi juri program Mic On di Awesome TV baru-baru ini.
Antara komen yang dilemparkan oleh penonton dan pengguna media sosial adalah merujuk kepada personaliti dan imejnya yang menggunakan cermin mata tebal.
Selain itu, menjawab kecaman netizen yang mendakwa dirinya sebagai buta fesyen selepas dia memberi komen tentang hal tersebut kepada peserta Mic On, Kelly ada jawapan tersendiri.
“Buta fesyen? Apa maksud mereka? Kita boleh nampak, di pentas besar, persembahan berbentuk pertandingan, tentulah kita nak tengok peserta daripada aspek keseluruhan. Ia termasuklah bagaimana mereka bergaya dengan imej yang dibawa.
“Kita nak tengok baju apa, busana rekaan siapa, nak tengok pembawakan peserta itu secara menyeluruh. Ini, ada yang pakai baju, alahai, tolonglah, tahun bila ya?
“Saya tahu apa yang saya komen dan tentunya dapat memberi input dan impak buat peserta,”katanya.
Untuk info, Kelly menerusi program Mic On merupakan juri Suar Net yang memainkan peranan melontarkan suara netizen kepada peserta-peserta program itu.
Selain Kelly, selebriti lain yang turut memeriahkan program tersebut ialahg Fad Bocey, Ajak Shiro dan Ropie yang berperanan sebagai pengurus.
Mic On bersiaran di saluran Awesome TV, setiap Jumaat, pada pukul 9 malam.