PETALING JAYA : Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali memaklumkan dirinya dijangkiti virus Covid-19 kali kedua.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu Peluang Kedua itu sendiri menerusi entri Instagram miliknya, sebentar tadi.
Justeru itu, dia memohon maaf kepada pihak terlibat kerana terpaksa menangguhkan segala tugasan selama 10 hari, bermula hari ini.
“Assalamualaikum, duka citanya ingin memaklumkan bahawa saya telah dijangkiti virus Covid-19 buat kali kedua.
“Banyak kerja terpaksa saya tangguh dan batalkan untuk 10 hari mendatang.
“Saya ingin memohon maaf kepada pihak penganjur mahupun sesiapa yang terkesan dengan berita ini,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, Nabila juga memohon doa orang ramai agar dirinya diberikan kesembuhan seperti sedia kala.
“Mohon doakan kesihatan saya kembali pulih seperti sedia kala.
“Covid-19 adalah benar dan ia masih ada di luar. Jaga diri,” ujarnya.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet dan rakan artis menitipkan doa yang baik-baik buat penyanyi berkenaan agar diberikan kesembuhan dengan segera.