KEHADIRAN pendatang baharu di arena seni hiburan, Sri Irdina, masih hijau. Sedar akan lambakan bakat baharu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, Sri punya formula tersendiri untuk memperkenalkan dirinya.
Tidak terburu-buru untuk mengejar populariti, pelakon yang pemurah dengan senyuman ini menyifatkan perkara itu satu hal yang menakutkan.
Baginya, mungkin dalam industri populariti itu penting. Tapi dia melihat hal itu dari sudut perspektif lain.
“Saya percaya pada rezeki yang diaturkan Tuhan. Bagi saya populariti itu sangat menakutkan. Tidak dinafikan, walaupun adakalanya membantu perkembangan karier, namun cabaran dan risikonya juga tinggi.
“Sebenarnya ada banyak cara untuk membina nama. Lain orang lain caranya, tapi kandungan mengundang dalam media sosial bukan formula saya. Saya suka berlakon dan jatuh cinta dengan lakonan.
“Jadi, tidak terlintas pada pemikiran saya untuk membina nama dengan cara itu. Mungkin disiplin, komitmen, usaha yang dilapik oleh doa adalah formula saya,” akurnya.
Jelasnya lagi, dia lebih fokus berlakon berbanding memikirkan cara untuk dikenali khalayak.
“Yang selalu saya fikirkan adalah cara untuk sentiasa memperbaiki dan meningkatkan lagi kualiti lakonan,” ujarnya.
Rasa bertuah
Sejak dua tahun mengasah bakat baik di pentas teater atau pun drama, kini rezekinya semakin bercambah apabila diberi peluang beraksi di layar perak.
Menyambut baik tawaran itu, dia memandang peluang tersebut sebagai satu tambah nilai.
“Saya mengganggap ini adalah satu peluang yang sangat berharga. Di sinilah saya berpeluang untuk menonjolkan bakat lakonan melalui watak yang ditugaskan oleh pengarah, Osman Ali.
“Ia agak mencabar, tetapi saya sahut dan akan berusaha membawa watak yang digalas dengan jayanya.
“Insya-Allah bukan sahaja dari segi lakonan, saya juga berpeluang mengembangkan hubungan di antara rakan industri. Tidak kira barisan pelakon mahu pun tenaga produksi,” jelasnya yang membawa watak sebagai Manisah menerusi filem Telaga Suriram.
Berpeluang berlakon di layar perak, Sri berasa bertuah kerana dapat berlakon sebaris dengan nama-nama hebat. Antara bintang besar turut terbabit ialah Farid Kamil, Nabila Huda, Ellie Suryati, Scha Alyahya, Maya Karin dan ramai lagi.
“Secara tidak langsung ini salah satu peluang untuk saya mengambil sedikit sebanyak ilmu daripada pelakon-pelakon lain yang cukup berpengalaman,” katanya.
Duit kerja tambahan beli baju dan alat solek
Mengulas mengenai pengalaman sebelum terjun ke bidang lakonan dengan lebih serius, kongsi Sri, dia pernah bekerja sebagai pembantu pengajar di sebuah pusat tuisyen, mengajar mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Saya juga pernah bekerja sambilan sebagai tutor di sebuah institusi seni, mengajar vokal dalam teater dan bekerja di gerai makan menjual goreng pisang
“Hasil pekerjaan di gerai itu selalunya saya gunakan untuk membeli pakaian kelengkapan penggambaran dan alat solek sebelum masuk set,” kongsi anak bongsu daripada enam bersaudara itu.
PROFIL
Nama penuh: Sri Idrina Idris Silva
Tahun lahir: 1994
Graduan dan jurusan: Ijazah Sarjana Muda Teater (Lakonan)
Asal: Ipoh Perak.
Instagram: @sriirdina
Falsafah hidup: Rezeki datang apabila doa diiringi kerja keras.