KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Diana Johor, 42, mengaku bukan mudah untuk mengejar kepesatan arus media sosial yang kini dilihat sebagai satu medium penting dalam bidang pemasaran.
Malah, kata Diana, sebagai seorang artis, dia juga mengaku media sosial memainkan peranan dalam mempromosikan hasil kerja selain membantu membuatkan nama seseorang itu lebih dikenali.
“Masa zaman saya jadi artis, mana ada media sosial ini semua. Jadi cara kita berinteraksi dengan peminat adalah lebih konvensional. Sekarang, semua orang boleh ikuti artis atau selebriti yang mereka sukai di mana-mana platform media sosial.
“Saya pula, memandangkan tidak biasa, nak tak nak kena cuba juga mendekatkan diri dengan peminat dan pengikut, contohnya menerusi akaun Instagram dan Tiktok.
“Semua itu disebabkan kerja. Pendekatan sekarang begitu, dan ia dianggap sebagai satu medium yang penting. Sebab itulah saya pun cuba-cuba berjinak. Main Tiktok dan sebagainya walaupun kekok dan nampak kaku,”katanya.
Diana berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran pusat rawatan kecantikan estetik, Beauty Code yang diusahakannya bersama beberapa rakan kongsi di Taman Desa, di ibu negara, semalam.
Berkahwin
Selain itu, kata Diana, dia juga kini sudah bersedia untuk kembali aktif berlakon memandangkan agak lama menyepikan diri.
Menurutnya, hasrat untuk berlakon sentiasa tersemat dalam hatinya namun setelah membuat keputusan untuk berkahwin sekitar empat tahun lalu, Diana mahu memberi tumpuan pada rumah tangganya terlebih dahulu.
“Insya-Allah, sekarang saya sudah semakin bersedia untuk kembali dalam dunia lakonan. Syarikat produksi milik saya, Panthera Motion Pictures Sdn Bhd juga sudah lama tai keluarkan sebarang karya baru.
“Kali terakhir adalah menerusi sebuah telemovie yang saya terbitkan pada tahun 2019, Hantu Raya Balik Kampung. Banyak sebab tertangguh segala perancangan dan antaranya kerana akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
“Apa pun, doakan saya ya. Sebab itulah saya cuba juga aktif di media sosial. Antara sebabnya nak dedahkan diri semula agar ramai tahu perkembangan saya,”katanya.
Untuk info, Diana yang juga mempunyai kembar bernama Lina Johor memulakan kerjaya seninya pada tahun 1994.
Antara naskah yang dibintangi ialah drama Gerak Khas, Sembilu kasih dan filem Love, Supermoon.