KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Amirul Asyhwad, 25, tampil berkongsi pengalaman menyentuh hati tatkala pernah bertugas sebagai petugas warden penjara.
Menurut Amirul atau nama penuhnya Ahmad Amirul Asyhwad Ahmad Nizan, banduan banyak mengajar sisi positif dan hal yang membekas di hati ketika banduan menulis surat untuk dihantar kepada ahli keluarga.
“Dalam surat itu mereka kata betul-betul sedar dan insaf atas apa kesilapan yang pernah mereka buat dahulu serta berjanji untuk tidak kembali semula ke penjara apabila dibebaskan kelak.
“Apabila bergaul dengan banduan, memang membuka mata saya bahawa semua orang layak diberikan peluang kedua.
“Kita kadang-kadang terlalu cepat nak hukum orang lain atas kesilapan masa silam mereka dan menghakimi atas kesalahan yang pernah dilakukan dulu,” ujar Amirul menerusi klip video yang dikongsi menerusi akaun Instagram miliknya.
Dalam perkongsian sama, kongsi pelakon yang mula dikenali menerusi drama Budak Tebing 2, berkata, semua manusia punya kekurangan tersendiri dan jangan pandang rendah terhadap individu lain.
“Kita kena sentiasa bersyukur, bagi semangat dan hargailah kebebasan yang kita ada,”katanya.