Khai Bahar jadi saudagar coklat - Utusan Malaysia

Khai Bahar jadi saudagar coklat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dipelawa menggalas tugas sebagai duta coklat jenama Chocoalbab, penyanyi dan pelakon, Khai Bahar, percaya ia bagaikan rezeki yang sudah tertulis buat dirinya.

Menurut Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 27, lamaran itu diterimanya walaupun sebelum ini mengaku pernah berkali-kali menolak dengan cara baik lantaran terikat dengan komitmen kerjaya seni yang lain.

“Pihak Chocoalbab tetap tak berputus asa.Tak boleh cara begitu dan begini, mereka guna pula insan yang saya baik. Nampaknya menjadi juga usaha itu kerana saya akhirnya mengalah. Tambah pula saya penggemar coklat. Siapa yang tak suka coklat? Dipendekkan cerita sejak Januari lalu, saya ‘diikat’ mereka.

“Kalau mereka berpuas hati, insya-Allah berpanjanganlah ‘jodoh’ kami. Saya pun bukan jenis yang sesuka hati mempromosikan produk makanan khususnya.

“Kalau tak sedap, saya takkan terima jadi duta. Saya tak mahu dilihat seperti ‘munafik’ mempromosikan makanan tak sedap hanya kerana dibayar,” katanya yang baru-baru ini melancarkan single berjudul Damba.

Selain itu, kata Khai, sudah menjadi satu kebiasaan buatnya untuk melakukan sesuatu perkara dengan perasaan ikhlas.

“Saya bukan nak tunjuk baik. Cuma ia lebih kepada sikap hakiki manusia. Saya percaya orang lain pun mungkin akan buat benda sama. Makanan sedap wajar dikongsi. Lagipun orang bayar kita jadi duta, semestinya kena ligat promosi.

“Perasaan semangat nak promosi produk ini menjadi jadi kerana macam saya katakan tadi, segala jenis makanan berasaskan coklat menjadi kegemaran.Dalam hal berlebih lebih mempromosikan ini daripada apa yang ditetapkan, saya percaya ia berbalik kepada soal timbal balik sesuatu perkara.

“Mungkin sudah jadi sikap saya sebegitu. Pemilik jenama itu pun bersikap profesional dan tidak berkira, jadi saya pun tak kisah nak ‘belanja’ lebih mempromosikannya. Orang baik dengan kita, tak salah kita buat benda sama,” kata pelakon drama Shakira itu.

Diusik persoalan apakah tindakannya itu mungkin didorong bayaran yang diterima dan difahamkan cukup lumayan, Khai hanya tersenyum penuh makna.

“Cukuplah saya katakan ia sangat memuaskan hati saya. Di sebalik lamaran jenama ini yang ditolak pada mulanya, saya percaya ada hikmah dan rezeki tertulis.

“Tambah dengan situasi pandemik COVID-19 yang masih berlarutan di negara kita, saya harus fikir soal ke depan. Saya kena bijak berbelanja dan melakukan simpanan untuk hari tua.

“Biarpun agenda dan aktiviti seni sudah diberi kelonggaran, saya percaya kita kena bersedia menjana pendapatan lain. Kita tak tahu apa yang mungkin terjadi esok, lusa,” katanya.

Tambah anak jati kelahiran Perlis ini lagi, paling mengujakan apabila penggambaran video promosi jenama itu memakan masa hampir 12 jam.

“Bayangkan dalam tempoh itu demi mendapatkan sudut terbaik dan memuaskan hati pihak jenama, saya sampai kena makan berpuluh puluh tub coklat itu.

“Mujurlah yang masuk perut, makanan disukai. Jadi, layanlah juga. Penat itu biasalah, tapi ditolak ketepi. Janji semua ‘happy’ dan puas hati,” katanya.

Diaju soalan mengenai sesetengah figura popular yang berkira kira mempromosi produk sama ada dibayar atau sebaliknya, selain menjaga kandungan di muat naik di media sosial, Khai percaya semua berbalik kepada diri masing masing.

“Saya tak boleh nak komen hal itu berdasarkan kapasiti atau pandangan orang lain. Lain orang, lain caranya. Cuma menjadi amanah kita mempromosikan sesuatu produk atau jenama apabila dibayar khidmat itu. Kalau sebaliknya, itu lain cerita,” katanya.

Dalam pada itu, menurut pengasas Syarikat CLA Empire Sdn Bhd, Said Saiful Fazli, menerusi Chocoalbab, pihaknya optimis untuk terus terbang tinggi menerusi pelantikan Khai Bahar sebagai duta.

Dilancarkan April tahun lalu, jenama dengan ‘tagline’ Hidup Biarlah Sedap itu sejak bulan pertama berjaya mencipta rekod sebanyak 50,000 tub telah terjual.

Kata Said, dia kini mensasarkan jualan sebanyak satu juta tub dalam tempoh sebulan selain dieksport ke Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Pelantikan Khai Bahar sebagai duta sejak Januari lalu memberi impak tersendiri hingga graf jualan meningkat secara mendadak.

“Saya percaya usaha ‘memikat’ Khai biarpun pelawaan sebagai duta buat kali pertama Oktober tahun lalu ditolaknya secara baik memberi metafora tersendiri.

“Saya tidak putus usaha, sampai guna macam-macam kaedah. Akhirnya percaturan menjadi apabila menggunakan bantuan salah seorang teman usahawan yang pernah menggunakan khidmatnya,” kata Said.

Menurut Said lagi, perkataan albab dalam jenama berkenaan turut memberi maksud yang sangat simbolik.

“Ia diambil daripada bahasa Arab yang membawa maksud pintu. Pintu itu juga memberi makna lebih tepat kepada ‘Pintu Rezeki’ dan ‘Pintu Kebahagiaan’.

“Dengan jenama ini, kami alu alukan ramai lagi menyertai pintu rezeki bersama pasukan SaudagarCLA untuk menjana pendapatan. Pastinya tub coklat ini memberi pintu kebahagiaan buat yang menikmatinya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya