KUALA LUMPUR : Kakak Neelofa, Noor Nabila, mendedahkan, dia dan bekas suaminya, pelakon Sharnaaz Ahmad, selesa mendidik anak tunggal mereka, Jebat Jayden untuk berbahasa Melayu dari kecil.
Kata Nabila, dia sedar sudah menjadi gaya hidup pada masa kini apabila terdapat golongan ibu bapa yang lebih gemar menerapkan bahasa Inggeris kepada anak-anak mereka walaupun bukan menetap di negara luar.
“Apabila jumpa orang Melayu yang memang muka Melayu (tak ada darah campuran) tapi cakap Melayu ada slanga atau tak fasih. Malah ada juga yang cakap pun bunyi pelat-pelat. Saya rasa sedih.
“Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda kita. Kalau bangsa Melayu tak fasih bertutur bahasa sendiri, apabila bergaul ia akan nampak pelik. Saya dan Sharnaaz sepakat dalam hal ini dalam memberi pendedahan kepada Jebat,”katanya.
Nabila berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran Disney X Naelofar The Little Mermaid yang diadakan di Pusat Membeli Belah One Utama, di sini, semalam.
Tambah Nabila, sebagai ibu dia enggan melihat perkara sama berlaku kepada anaknya itu terutama apabila Jebat sudah besar nanti.
Katanya,dia mahu Jebat benar-benar fasih berbahasa Melayu namun anaknya itu mampu maju selangkah lagi dengan menguasai loghat Kelantan atau loghat Utara seperti bapanya juga, ia akan dianggap bonus.
Selain itu, Nabila juga berkongsi mengenai pengalaman bersama adiknya, Faliq Khan, yang menggunakan bahasa Melayu di rumah tetapi menunjukkan perubahan berbeza apabila mula memasuki fasa persekolahan.
“Faliq asyik berbahasa Inggeris sehinggakan kini dia tidak mahu bercakap dalam bahasa Melayu langsung.
“Kalau diikutkan, saya dan anggota keluarga lain semua guna bahasa Melayu saja di rumah.
“Jadi, saya tak nak Jebat jadi orang Melayu yang boleh berbahasa Inggeris tapi tak tahu berbahasa Melayu. Kalau dia sudah bersekolah nanti dia pandai belajar bahasa asing, tak apa. Tapi kena tahu bahasa Melayu,” katanya.
Sementara itu, mengulas soal tambah anak dengan Engku Emran, Noor Nabila berkata, dia tidak menolak rezeki jika ditakdirkan bilangan anggota keluarga mereka bertambah.
“Memang ada terfikir untuk tambah anak. Saya dan suami tak tolak rezeki malah kami juga sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
Untuk rekod, Noor Nabila berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 namun pasangan itu bercerai tiga tahun kemudian.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia empat tahun.
Noor Nabila kemudian sekali lagi bergelar isteri apabila diijabkabulkan pada 19 Mac tahun lalu dengan usahawan Engku Emran Engku Zainal Abidin.