KUALA LUMPUR: Pelakon hebat, Sabri Yunus mencadangkan agar stesen televisyen (tv) mengkaji semula pemberian peruntukan yang diberikan kepada syarikat produksi bagi satu-satu projek drama atau filem.
Kata pelakon yang disegani itu, tindakan tersebut akan menyelesaikan banyak perkara termasuk isu bayaran tidak setimpal diterima pelakon atau kru produksi yang sehingga kini masih menjadi antara masalah utama dalam industri seni.
“Isu yang ada adalah isu yang lama dan sama. Yang sudah pernah diketengahkan oleh semua pihak dalam industri penghasilan drama dan filem di Malaysia. Saya cuma utarakan semula.
“Saya cadangkan stesen tv naikkan peruntukan. Banyak isu yang boleh diselesaikan. Termasuklah masalah bayaran tidak setimpal kepada pelakon dan tenaga kerja produksi.
“Ada pihak dakwa produser tak bagi bayaran setimpal. Tetapi sebenarnya bayaran yang mereka berikan kepada tenaga kerja adalah bergantung kepada peruntukan yang diberikan stesen tv kepada mereka,” katanya.
Sabri berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Kata Sabri lagi, dia berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu berkenaan isu terbabit memandangkan ia bukanlah masalah yang baharu dibangkitkan.
“Ini isu lama, tetapi ia sangat penting dan masih tidak selesai sehingga hari ini. Kalau ditanya kepada saya, apa perkara yang perlu ditambah baik dalam industri, inilah dia. Isu kewangan.
“Bukanlah kita minta kenaikan yang banyak. Tetapi biarlah setimpal dan bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Kita mahu orang bekerja dengan selesa, dengan menerima bayaran yang sekurang-kurangnya menggembirakan hati. Bukan bekerja atas keterpaksaan, tiada pilihan. Tak seronoklah begitu,” tegasnya.
Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan watak Pok Ya Cong Codei itu juga berharap agar stesen tv dapat meneliti semula bayaran yang diberikan kepada pelakon.
Katanya, amalan memberi bayaran tidak masuk akal berdasarkan populariti seseorang pelakon itu adalah satu tindakan tidak adil dan menganiaya pelakon yang lebih berpengalaman serta kru produksi lain.
“Sekarang ini kelaziman stesen tv mahukan seseorang yang terkenal dan memiliki pengikut yang ramai di media sosial. Walhal bakat dan kemampuan lakonan mereka belum betul-betul teruji.
“Jadi mereka sanggup berhabis-habisan, memberi bayaran yang tinggi untuk mendapatkan figura popular bagi melariskan drama atau filem.
“Bagi saya amat tidak adil. Apabila bayaran kepada mereka dilebih-lebihkan sehingga bayaran tenaga kerja dan pelakon lain diremeh-remehkan saya rasa cukup tidak adil,” tegurnya.