KUALA LUMPUR : Penyanyi, Black Hanifah, 35, berpendapat, sekiranya industri mahu mencari mana-mana bakat baharu, aspek utama yang harus ditekankan ialah kualiti.
Malah, kata Black, dia cukup sedar, banyak ‘insiden’ kebelakangan ini berlaku dalam industri dan ia memberi cerminan seolah-olah bakat berkualiti tidak lagi menjadi kepentingan utama dalam melahirkan pelapis anak seni.
“Kita faham, gimik memang baik untuk melariskan lagu, produk dan sebagainya. Tapi kalau boleh, janganlah merendahkan martabat kita sebagai anak seni.
“Nak buat apa sahaja kena fikir baik buruk. Yang menonton bukan sahaja kita sebagai orang tempatan tetapi juga diambil peduli orang orang luar. Kita patut malu dengan apa yang kita buat,” katanya.
Tambah penyanyi ini lagi, untuk mencari bakat baharu bukanlah satu perkara yang sukar memandangkan masih ramai orang di luar sana yang mencari tempat untuk menyinar.
Mereka yang benar-benar berbakat inilah yang harus dibantu untuk memberikan ruang dan platform bagi mengembangkan potensi diri agar dapat menaikkan mutu industri seni tanah air.
“Nak mencari penyanyi bukanlah satu kerja yang sukar. Kita ada banyak bakat baharu yang terdiri daripada buskers hebat yang ada tepi jalan dan sebagainya.
“Kalau betul nak mencari bakat dan konten yang baik, ambil sahaja mereka. Rasanya itu lebih baik dan akan mendapat reaksi positif daripada semua. Kalau nak cari konten, pilihlah yang bermaruah,” katanya yang baru sahaja melancarkan lagu baharu minggu lalu.
Lagu Hanya Aku Yang Mencari yang sudah dilancarkan secara rasmi pada 11 Februari lalu disemua platform digital. Manakala, video muzik (MV) pula akan disiarkan secara rasmi pada Jumaat, 8.44 malam menerusi YouTube Nyawa Black TV.
Menariknya, sejak melancarkan lagu tersebut minggu lalu, maklum balas yang diterima cukup positif daripada peminat yang sudah lama menunggu buah tangan terbarunya itu.
“Nak jadi penyanyi kena relevan dengan industri. Saya sendiri perlu mengikut trend dan terus menjaga kualiti untuk diterima baik oleh pendengar.
“Kali ini, saya gembira kerana masih dapat bekerjasama dengan Ajai untuk lagu ini. Dia tahu mana kekurangan dan kelebihan saya dan itu memudahkan lagi proses rakaman lagu ini,” kata Black lagi.
Paling diingati apabila dia perlu melakukan proses rakaman semula memandangkan ada beberapa bahagian lagu yang dilihat tidak kena dengan suaranya.
“Abang Ajai memang ambil berat dalam proses rakaman. Walaupun lagu tersebut sudah siap, apabila ada bahagian yang tak menepati halwa telinganya, kena rakam semula.
“Saya tak kisah kalau perlu melalui proses rakaman semula. Asalkan hasil akhir akan menjadi lebih baik, saya okay,” katanya.
Untuk rekod, lagu tersebut merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby dan lagu ini diedarkan oleh Indigital Music.